Lima anggota agensi penguatkuasaan kerajaan antara tujuh individu termasuk dua wanita ditahan polis setelah dipercayai terlibat dalam kes samun berkawan di Cheras.

SERAMAI lima anggota agensi penguatkuasaan kerajaan antara tujuh individu termasuk dua wanita ditahan polis setelah dipercayai terlibat dalam kes samun berkawan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang antara 4 hingga 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua suspek ditahan susulan penahanan seorang lelaki di Jalan Pekan Salak Selatan, pada pukul 11 malam, Isnin lalu yang mana polis merampas kunci motosikal serta pakaian miliknya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek ditahan di Pandan Indah, Ampang, Selangor awal pagi semalam dan polis merampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dan satu telefon bimbit.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 25 dan 30 tahun dan semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes samun.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek berkenaan didapati negatif dan mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Oktober ini untuk melengkapkan siasatan,” katanya satu dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Idzam berkata, berikutan tangkapan awal itu, pihaknya menahan lima lagi individu tempatan termasuk dua wanita di empat lokasi berasingan di Salak Selatan, Pudu, Ampang dan Kajang bermula pukul 8.30 pagi, semalam.

Ujar beliau, antara barang kes dirampas dari suspek berusia antara 19 hingga 24 tahun itu termasuk sebuah motosikal Yamaha LC 135, sebuah kereta Proton Iswara, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,000.

“Dua daripada suspek berkenaan memiliki rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek terbabit negatif dadah.

“Mereka direman selama enam hari bermula hari ini hingga 11 Oktober nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

“Dengan penahanan tujuh suspek berkenaan termasuk lima daripada mereka yang bekerja di agensi penguat kuasa, kami yakin berjaya menyelesaikan kes samun di Cheras, Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Idzam menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di daerah ini dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92840083, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.