SELAKU pembekal kandungan hiburan utama di Malaysia, Astro menyambut baik inisiatif kerajaan membenarkan peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi kawasan sekitar Lembah Klang khususnya yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.

Susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sektor industri kreatif untuk negeri dalam Fasa 3, pihak Astro dengan berbesar hati membawakan kembali penganjuran anugerah pilihan penonton, Anugerah MeleTOP Era atau AME 2021 untuk tahun kelapan bagi meraikan karya dan personaliti paling menyerlah sepanjang tahun 2020 yang merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, sebagai pemain utama industri kreatif tanah air, keprihatinan dan inisiatif kerajaan yang mengumumkan peralihan Fasa 3 dan pembukaan semula industri seni kreatif telah memberi sinar baharu dan kelegaan serta-merta.

“Meskipun kerancakan aktiviti seni dan acara hiburan pasca pandemik mungkin tidak lagi meriah sepertimana sebelumnya, namun ia tidak sedikitpun menggugat usaha kami untuk beradaptasi secara inovatif agar dapat terus membekalkan kandungan berkualiti sekaligus bergerak ke hadapan demi kelangsungan industri.

“Bagi menambah baik sekaligus memberi kelainan segar untuk penganjuran AME 2021, pengenalan tiga kategori baharu untuk menggantikan dua yang digugurkan dibuat setelah mengambil kira kesesuaian trend semasa yang mencerminkan perkembangan landskap persada seni masa kini supaya tidak ketinggalan.

“Kemajuan teknologi serba maju dan era media baharu yang lebih dominan pada hari ini membolehkan industri hiburan berevolusi dengan begitu pantas.

“Seperti yang kita dapat lihat, fenomena kebangkitan generasi BBNU dan pempengaruh semakin menguasai industri hiburan sehingga mampu meraih populariti luar biasa.

“Persaingan sengit untuk menempatkan diri dalam bidang seni juga secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kualiti golongan artis sedia ada yang berusaha keras menunjukkan kepelbagaian bakat seni supaya kekal bertahan,” katanya.

AME 2021 dengan tagline Yang Fresh, Yang Legend bakal bersiaran secara langsung pada 30 Januari 2022, pukul 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.

Pengacara versatil, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas AME 2021 selaku hos utama.

Format penganjuran asal AME yang menyerahkan kuasa penuh kepada peminat untuk mengundi pemenang bagi kesemua 16 buah kategori utama masih dikekalkan.

Untuk edisi 2021, sebanyak tiga buah kategori baharu bakal dipertandingkan iaitu Personaliti TV MeleTOP, BBNU MeleTOP dan Video MeleTOP.

Manakala dua buah kategori yang sedia ada pula digugurkan daripada senarai utama iaitu Hos MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Undian fasa pertama untuk memilih calon Top 5 boleh dihantar mulai 5 Oktober hingga 19 November, pukul 6.00 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK.