Lima kakitangan sebuah hospital direman lima hari berhubung siasatan rasuah urus jenazah./GAMBAR media sosial.

BERITA penahanan lima kakitangan hospital di Selangor petang semalam memang mengejutkan ramai.

Manakan tidak, mereka ditahan berhubung siasatan minta suapan daripada ejen sebagai balasan memberikan kerja urusan jenazah.

Ke tahap urusan jenazah pun boleh berlaku ‘buat duit’ dan ini menimbulkan tanda tanya sejauh mana kroniknya masalah rasuah di Malaysia.

Apa pun hari ini, lima kakitangan hospital itu yang berusia 30-an hingga awal 40-an ditahan reman lima hari untuk siasatan lanjut.

Ini setelah permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

Baca artikel berkaitan: Urus jenazah pun sempat ‘buat duit’, 5 staf hospital ditahan

Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Ellyna Othman.

Memetik laporan media semalam, jumlah balasan melibatkan lebih RM20,000 dalam tempoh sejak 2019.

Difahamkan ia melibatkan pengurusan jenazah beragama Islam yang mana urusannya adalah satu fardu kifayah.

Memetik laporan media, kesemua suspek itu ditahan sekitar 3 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram