Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SYOR Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun membentangkan pendirian mengenai pelaksanaan PRN itu dalam Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19, semalam.

Beliau berkata, KKM ambil maklum dan bersedia dengan apa sahaja SOP untuk melaksanakan PRN Melaka sekiranya proses pengundian itu terus berjalan.

“KKM telah pun bentangkan pendirian semalam dalam Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 dan kita akan bincang sekali lagi di mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

“Ini kerana ia bukan hanya melibatkan faktor kesihatan sahaja tetapi juga soal perundangan dan Perlembagaan.

“Kita ambil maklum apa sahaja keputusan Jemaah Menteri dan KKM akan sediakan SOP yang diperlukan jika ia (PRN Melaka) diteruskan.

Baca artikel berkaitan: KKM tak cadang wajibkan ujian kendiri rentas negeri

“Kalau tak diteruskan, kita ada masa lagi (untuk persiapan),” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, kementeriannya ingin terus menjadikan HKL sebagai pusat rujukan nasional yang bertaraf antarabangsa.

Bagi memenuhi hasrat itu, beliau berkata, KKM akan memastikan bahawa segala perancangan pembangunan bagi hospital itu akan menjadikan HKL bersedia untuk bertahan bagi 150 tahun akan datang.

“HKL ini dah pun berusia 151 tahun, dibuka sebagai Hospital Daerah Kuala Lumpur pada tahun 1870 sebab itu perancangan itu mestilah bermula daripada sekarang, mengambil kira semua pembangunan dan perancangan yang telah pun dijalankan.

“Sebagai contoh, perancangan akan datang, HKL akan memohon kepada Unit Perancangan Ekonomi dan Perbendaharaan supaya mempertimbangkan untuk menaik taraf Institut Peadiatrik sedia ada selain bangunan hospital bersalin yang lama,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram