KOS penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hanya melibatkan belanja kewangan kecil sebanyak RM4.2 juta, bukan RM2 bilion seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mustapa, kos tersebut merangkumi perbelanjaan bagi sesi libat urus, percetakan dan perunding media.

Sehubungan itu, Mustapa menyifatkan dakwaan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai tidak berasas.

Pada masa sama, Mustapa menegaskan proses penyediaan RMK-12 tidak langsung menggunakan khidmat perunding asing walaupun ia merupakan tempoh mencabar ekoran penularan COVID-19.

“Saya ingin menegaskan RMK-12 tidak disediakan oleh perunding asing tetapi pegawai di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dengan kerjasama kementerian dan agensi serta sokongan beberapa pihak berkepentingan terbabit dalam menyediakan input serta cadangan.

Baca artikel berkaitan: Mustapa mahu Anwar perbetul kenyataan

“EPU juga mendapatkan khidmat nasihat daripada Institut Tadbir Awam Negara (Intan), perunding tempatan dan bekas pegawai kanan EPU untuk menyemak konsistensi serta menambah baik gaya bahasa dan kaedah penyampaian dokumen agar lebih mudah difahami,” jelas beliau.

Hujung bulan lalu, Anwar mendakwa lebih RM2 bilion telah dibelanjakan kerajaan untuk menyiapkan buku RMK-12 dengan peruntukan itu diberi kepada konsultan luar negara.

Anwar berkata, kos tersebut sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan buku RMK-12.

“Saya difahamkan lima tahun dulu telah dibelanjakan RM1.8 bilion (kepada konsultan luar). Jadi saya nak tanya, lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan Buku RMK-12 ini, mungkin sebahagiannya (kandungan kajian) kita boleh guna pakai.

“Tetapi saya masih yakin, maklumat dan perancangan dalam negara boleh dan mampu dikendalikan oleh kepakaran dalam negara kerana mereka lebih faham masalah dalam negara. Siapa boleh faham masalah kemiskinan dan kesenjangan dalam negara, bukan pakar-pakar konsultan luar,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram