SALAH satu keajaiban alam dapat dilihat enam kilometer dari bandar Manaus, Brazil. Di sini, wujud pertembungan dua buah sungai yang berlainan warna.

Air hitam sungai Rio Negro dan air kekuningan coklat sungai Solimoes Rio bertembung, tetapi tidak bercampur.

Sejak ratusan tahun dahulu lagi, kedua-dua aliran sungai ini mengalir seiring dan berdampingan. Tetapi masing-masing tidak bercampur dan masih mengekalkan warna asal.

Sungai Rio Negro dan sungai Solimoes Rio merupakan sebahagian anak sungai yang berada dalam sistem lembangan Amazon. Walaupun keduanya terletak pada satu kawasan yang sama, namun punca aliran anak sungai adalah berbeza.

Rio Negro terkenal sebagai salah satu anak sungai terbesar di utara Amazon. Aliran sungainya bermula dari Columbia, kemudian bergerak sejauh 1,500 kilometer sehingga mengalir ke Solimoes Rio.

Manakala sungai Solimoes Rio pula bermula dari lubang kecil dalam tanah di pergunungan Andes, Peru pada ketingggian 5,000 meter. Pertemuan dua sungai ini membawa sehingga ke sungai Amazon, seterusnya melalui perjalanan panjang di Lautan Atlantik.

Sepanjang enam kilometer kedua-dua sungai ini mengalir sebelah menyebelah dan saling beriringan. Tetapi masing-masing membawa aliran tanpa bercampur dan bergaul.

Dikatakan fenomena semula jadi itu berlaku kerana faktor ketumpatan, menyebabkan kedua-dua sungai itu sukar untuk saling bercampur.

Air sungai Rio Negro, misalnya dikesan berwarna hitam pekat kerana sarat dengan kandungan tanin atau sisa bahan organik reput dari hutan Amazon. Kandungan aluminium dalam air hitam ini juga lebih pekat daripada air putih. Ketumpatan ini berbeza dengan sungai Solimoes Rio. Airnya hanya mengandungi enapan tanah dan pasir dari pergunungan Andes menjadikan warnanya agak keruh.

Perbezaan dari segi kepekatan ini menyebabkan pergerakan arus di dua sungai ini juga berbeza. Sebagai contoh, aliran arus di sungai Rio Negro bergerak sedikit perlahan iaitu kira-kira dua kilometer per jam. Manakala arus di sungai Solimoes Rio pula mengalir lebih laju, iaitu antara empat hingga enam kilometer per jam.

Manaus

Ketidakserasian ini menghalang kedua-dua sungai tersebut bercampur aduk. Tidak hanya pada air, flora dan fauna di dua sungai itu juga saling tidak bergaul. Di sungai Rio Negro misalnya, airnya yang berwarna hitam dan berasid menjadi amaran kepada haiwan herbivor untuk tidak hidup di situ.

Beberapa jenis haiwan seperti siput memerlukan banyak kalsium untuk membina cengkerang mereka. Namun unsur itu tidak terdapat dalam sungai Rio Negro. Ini menyebabkan siput tidak banyak hidup di kawasan air hitam tersebut. Atas faktor ini jugalah kenapa sebahagian krustasea atau haiwan kecil yang mempunyai cengkerang seperti ketam dan udang tidak boleh tinggal di situ.

Krustasea merupakan sumber makanan penting bagi ikan. Ketiadaan sumber makanan ini menjadi penghalang kepada haiwan yang bernafas melalui insang itu tinggal dalam sungai itu. Bahkan, telur nyamuk juga tidak dapat hidup dalam sungai hitam tersebut kerana kadar keasidan kawasan itu adalah sangat tinggi.

Berbeza dengan sungai Solimoes Rio, sungai ini dianggap mesra alam sehingga mengundang banyak hidupan untuk tinggal di situ. Lebih 3,000 spesies ikan hidup di sungai ini. Flora juga tumbuh membesar di perairan sungai basin Amazon ini.

Ini adalah sebahagian perbezaan di antara sungai Solimoes Rio dan sungai Rio Negro yang dikatakan menjadi penyebab keduanya tidak bercampur gaul apabila bertemu.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam