GAMBAR: Abd Razak Aid

MURID-murid tahun enam dan tingkatan tiga tahun ini boleh mula membuat permohonan bagi kemasukan ke sekolah-sekolah khusus untuk tahun 2022 mulai Ahad ini sehingga 15 November depan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, permohonan ke tingkatan satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my manakala permohonan bagi tingkatan empat pula di pautan https//:spskt4.moe.gov.my.

Menurut Kementerian Pendidikan, ia melibatkan permohonan ke sekolah berasrama penuh (SBP); sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA); sekolah menengah teknik (SMT); kolej vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Katanya, permohonan ke SBP dan SMKA adalah bagi tingkatan satu dan empat manakala SMT dan MTD hanya untuk tingkatan empat selain KV pula bagi tahun satu.

“Semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran bagi tingkatan satu dan tingkatan empat secara dalam talian bermula 1 Disember 2021.

“Pentaksiran akan bermula dari 17 Januari 2022 hingga 27 Januari 2022 bagi tingkatan satu dan 7 sehingga 17 Februari 2022 untuk tingkatan empat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 143,000 pelajar mula sesi persekolahan libatkan negeri Kumpulan A, B

Kementerian Pendidikan memaklumkan telah memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke tingkatan satu dan tingkatan empat bagi SBP, SMKA, SMT, KV dan MTD mulai tahun ini.

Jelas kementerian itu, komponen yang akan ditaksir adalah sebanyak 20 peratus bagi kecerdasan insaniah; 70 peratus kecerdasan intelektual dan 10 peratus artikulasi penulisan.

Kementerian Pendidikan turut memaklumkan syarat permohonan kemasukan ke sekolah khusus termasuk warganegara Malaysia dan mendaftar dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

“Selain itu, murid tahun enam tahun ini yang berumur 12 tahun atau lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010.

“Syarat lain adalah murid tingkatan tiga tahun 2021 yang berumur 15 tahun atau lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007,” jelasnya.

Keputusan pemilihan kemasukan murid ke sekolah khusus itu akan diumumkan pada 15 Mac 2022.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram