SUATU hari, seorang panglima tentera Islam bernama Abdullah bin Muhammad telah keluar menuju ke kawasan pantai untuk membuat rondaan.

Sebaik tiba di sebuah kawasan lapang, mata Abdullah terpandang sebuah khemah yang didirikan di satu sudut, tidak jauh dari laluannya. Khemah itu agak lusuh. Dindingnya compang-camping dan bertampal-tampal.

Abdullah merapati khemah tersebut dan mendapati seorang lelaki tua berada di dalamnya. Lelaki itu sedang duduk. Tubuhnya kurus. Kedua-dua belah tangan dan kakinya kudung, sementara matanya pula buta. Namun, mulutnya sentiasa terkumat-kamit mengucapkan sesuatu.

Abdullah menyelinap masuk ke dalam khemah tersebut. Langkahnya diatur senyap, supaya kehadirannya tidak disedari. Kemudian, dia menadah telinga untuk mengamati butir kata yang diucapkan oleh lelaki tua itu.

“Segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia… segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia…,” tutur lelaki tua itu. Suaranya agak lemah.

Abdullah tergamam. Dia perhatikan lelaki tua itu atas bawah. Ternyata sebahagian besar panca inderanya sudah tidak berfungsi. Bahkan, dia mungkin tidak memiliki apa-apa dalam hidupnya. Namun, lelaki tua itu tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur kepada Allah.

“Siapa kamu?” tanya lelaki tersebut sebaik menyedari kehadiran seseorang di dalam khemahnya.

“Assalamualaikum… aku Abdullah, seorang yang tersesat di kawasan ini,” kata Abdullah ringkas, tidak mahu mendedahkan identitinya yang sebenar.

“Dan siapa pula kamu? Mengapa engkau tinggal sendirian di tempat ini? Di mana isterimu, anakmu dan kaum kerabatmu?” tanya Abdullah semula.

“Aku seorang yang sakit. Semua orang meninggalkan aku. Dan kebanyakan ahli keluargaku telah meninggal dunia,” jawab lelaki tua itu.

“Tadi aku dengar engkau berkata dan mengulang-ulang ucapan, ‘Segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia.’ Demi Allah, apa kelebihan yang Allah berikan kepadamu, sedangkan engkau buta, fakir, kudung kedua-dua kaki dan tangan, serta hidup sebatang kara?” tanya Abdullah lanjut.

Lelaki tua itu terdiam seketika. Dia menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

“Bukankah Allah memberi ku akal yang sihat, dan dengannya aku mampu memahami dan berfikir? Berapa ramai pula manusia yang gila di atas dunia ini? Maka, segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia…” jelas lelaki tua itu.

Lelaki tua itu menyambung lagi…

“Bukankah Allah memberikan aku sepasang telinga, dan dengannya aku mampu mendengar azan, memahami ucapan dan mengetahui apa yang berlaku di sekeliling? Berapa ramai pula manusia yang pekak dan tuli di atas dunia ini? “Maka, segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia…”

“Bukankah Allah memberi ku lisan, dan dengannya aku mampu berzikir dan berkata-kata? Berapa ramai pula manusia yang bisu dan tidak mampu berbicara di atas dunia ini?”

Belum sempat Abdullah menjawab soalan tersebut, lelaki tua itu lebih dahulu mencelah, “Maka, segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia.”

Lelaki tua itu kemudian meneruskan ucapannya. Satu persatu nikmat Allah ke atas dirinya disebutkan sehingga membuatkan Abdullah benar-benar takjub dengan tahap keimanan lelaki tua di hadapannya.

Jika sebelum ini dia menemui ramai manusia yang merungut apabila ditimpa musibah, tetapi lelaki ini berbeza sama sekali. Allah telah menimpakan ujian yang sangat berat, namun dia tetap bersyukur dan tabah menghadapinya. Sekalipun dia kudung, buta dan fakir, tetapi tidak sedikit pun dia bersungut di atas kekurangan itu.

“Nak, bolehkah aku membuat satu permintaan?” soalan daripada lelaki tua itu menyentak lamunan Abdullah.

“Ya, apa permintaan mu wahai orang tua?” katanya.

“Aku mempunyai seorang anak remaja. Dialah yang menyuapkan aku makan dan minum, mewudukkan aku ketika hendak solat serta menguruskan segala keperluan ku. Sejak malam tadi dia keluar mencari makanan dan masih belum pulang sehingga kini.

“Aku sudah tua dan tidak berdaya untuk mencarinya bersendirian. Jadi, aku ingin meminta pertolongan mu untuk mencari dan membawanya pulang ke sini,” pinta lelaki tua itu. Lalu, dia menyebutkan ciri-ciri anaknya, dan Abdullah berjanji untuk mencarinya.

Sebaik keluar dari khemah, Abdullah terpandang sebuah bukit kecil yang terletak tidak jauh dari tempatnya berdiri. Di atas bukit tersebut terdapat sekawanan burung gagak yang sedang mengerumuni sesuatu. Lantas, dia segera menuju ke sana.

Di atas bukit, Abdullah melihat ada sekujur mayat manusia dengan badannya yang telah dirobek-robek. Berdasarkan kesannya, Abdullah yakin ia telah diserang serigala. Dan dia juga pasti, mayat di hadapannya itu adalah anak kepada lelaki tua yang ditemuinya sebelum ini.

Lantas, dia kembali semula ke khemah tersebut. Hatinya sedikit berat memikirkan nasib yang menimpa orang tua itu. Namun, dia perlu menceritakan hal yang sebenar.

“Wahai orang tua, di antara engkau dan Nabi Ayub, siapakah yang lebih dicintai Allah? Siapa di antara kalian yang lebih berat ujiannya?” tanya Abdullah.

“Tentu saja Ayub lebih dicintai Allah dan sudah pasti dia menerima ujian yang lebih berat dari ku…” jawab lelaki tua itu.

“Jika begitu, ketahuilah bahawa anakmu telah meninggal dunia kerana diserang oleh sekumpulan serigala,” terang Abdullah.

“Segala puji bagi Allah yang melebihkan ku di atas sekalian ramai umat manusia…,” ucap lelaki tua itu. Namun, kali ini dia menangis kerana benar-benar sedih. Dia menangis semahu-mahunya sehingga nafasnya sesak, lalu meninggal dunia di hadapan Abdullah.

Abdullah kemudian keluar dari khemah untuk mencari seseorang bagi membantunya menguruskan jenazah. Secara kebetulan, dia melihat tiga orang lelaki musafir sedang menunggang unta yang melalui kawasan tersebut. Lantas Abdullah menghampiri mereka.

“Di sini ada seorang Muslim yang wafat, dan dia tidak punya sesiapa. Mahukah kalian menolong aku untuk menguruskannya?” tanya Abdullah. Tanpa banyak bicara, ketiga-tiga lelaki itu bersetuju untuk membantu.

Mereka kemudian masuk ke dalam khemah untuk menguruskan jenazah. Namun, ketika kain penutup wajahnya terselak, lelaki-lelaki itu kelihatan terkejut.

“Ini Abu Qilabah! Ini Abu Qilabah!” Lantas mereka mencium kening dan kedua tangannya yang kudung itu.

“Demi Allah, matanya selalu tunduk dari melihat hal-hal yang diharamkan oleh Allah. Demi Allah, tubuhnya selalu sujud tatkala orang lain sedang dalam keadaan tidur,” kata salah seorang daripada mereka.

Abdullah yang pelik kelakuan mereka kemudian bertanya, “Siapakah sebenarnya lelaki ini?”

“Dia adalah Abu Qilabah al- Jarmi, merupakan sahabat karib kepada Ibnu Abbas. Dia sangat cintakan kepada Allah dan Rasulnya. Dan dia juga sebenarnya merupakan seorang ulama terkemuka di kalangan kami. Namun, dia dirundung musibah hingga terpaksa menyendiri dari masyarakat,” kata mereka.

“Jika begitu, mari kita uruskan jenazahnya. Moga kita mendapat rahmat Allah,” kata Abdullah.

#Dipetik dari kitab ats-Tsiqot, karangan Ibnu Hibban.

NOTA: Abu Qilabah atau nama sebenarnya Abdullah bin Zaid meninggal dunia pada 104 Hijrah. Merupakan sahabat karib kepada Anas bin Malik, iaitu sepupu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak sempat bersama dengan Rasulullah, tetapi hidup ketika zaman pemerintahan khalifah Islam, termasuk Umar bin Abdul Aziz.

Abu Qilabah juga banyak meriwayatkan hadis melalui Anas bin Malik. Al-Bukhari meriwayatkan sebanyak 60 hadis melalui jalur Abu Qilabah dalam sahihnya, manakala Imam Muslim pula meriwayatkan 46 hadis melalui jalur Abu Qilabah.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam