Ayob Khan Mydin Pitchay

POLIS Johor mengenal pasti satu penipuan melibatkan dokumen aku janji yang menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ia selepas pihaknya menerima satu laporan polis semalam berkaitan satu penipuan pertukaran mata wang dolar Amerika kepada ringgit Malaysia yang dipercayai palsu.

Beliau berkata, dokumen tersebut didapati dikeluarkan dan ditandatangani seorang wanita warga tempatan yang bergelar ‘Datuk Seri’.

Ayob Khan memaklumkan, wanita tersebut mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan tukaran mata wang asing dolar Amerika kepada ringgit yang bernilai antara AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

“Selain itu, urusan tersebut juga melibatkan penggunaan akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan.

“Hasil semakan melalui laman www.istiadat.gov.my mendapati penama yang kononnya bergelar ‘Datuk Seri’ itu tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gelaran tersebut.

Baca artikel berkaitan: Kita tak akan cover-up salah laku anggota, pegawai – Ayob Khan

“Individu berkenaan juga merupakan suspek dalam kes penipuan draf Bank of Tokyo pada tahun 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, semakan ke atas seorang lelaki tempatan itu yang terlibat sebagai proksi mendapati dia adalah seorang peguam.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum sepuruh tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda.

“Polis Johor menasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan penipuan sebegini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram