Sebahagian daripada pelajar-pelajar sekolah menerima suntikan vaksin Covid 19 pada Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri apabila kadar vaksinasi dewasa mencecah 90 peratus, ramai yang menunggu kadar harian dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Selepas kira-kira dua minggu pengumuman itu dibuat, kini kadar vaksinasi bagi populasi dewasa semakin meningkat dan hanya kurang satu peratus lagi sebelum angka itu mencapai 90 peratus.

Sehingga semalam, sebanyak 89.1 peratus dewasa seluruh negara telah pun melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Sebanyak 45.204 juta dos vaksin COVID-19 telah pun diberikan ke seluruh negara termasuk bagi vaksin dos tunggal, CanSino menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Usaha itu juga telah menyaksikan lebih 21 juta individu seluruh negara telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.

Jumlah lebih 21 juta itu merangkumi 64.3 peratus populasi keseluruhan telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.

Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 24.309 juta individu atau 74.4 peratus keseluruhan penduduk.

Dari segi pemberian harian, jumlah dos bagaimanapun menurun sehingga di bawah paras 200,000 semalam.

Baca artikel berkaitan: 45 juta dos telah diberi, 88.8 peratus dewasa lengkap divaksin

Sebanyak 196,647 dos telah pun diberikan merangkumi 108,092 untuk dos pertama manakala 88,555 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.

JKJAV memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 94.6 peratus.

Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.906 juta atau 82.0 peratus populasi.

JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 2.337 juta (61.8 peratus populasi) di Johor; 1.905 juta (67.7 peratus populasi) di Sarawak; 1.779 juta (45.5 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.458 juta (58.1 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Kedah menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 1.221 juta individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (1.200 juta) dan 935,943 di Pahang.

“Seterusnya, Kelantan berjumlah 907,782; Negeri Sembilan telah mencatatkan 804,074 lengkap dos kedua dan 701,822 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 605,392 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 168,688 di Perlis dan 69,687 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.491 juta.

Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.821 juta individu.

Ia diikuti Sabah (2.256 juta); Sarawak (2.094 juta); Perak (1.758 juta) dan Kedah (1.468 juta).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram