Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur GAMBAR: Abd Razak Aid

YANG terlibat dalam rompakan bersenjata ke atas sebuah kedai emas di Kuala Lumpur kira-kira lima bulan lalu adalah tiga orang.

Jenayah itu membabitkan kerugian RM600,000 ke atas pemilik premis itu yang terletak di Wangsa Maju.

Hari ini, salah seorang daripada tiga suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melakukan jenayah itu bersama dua lagi yang masih bebas.

Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, yang juga mekanik mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Memetik laporan Bernama, lelaki itu didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah kapak, tukul dan parang ke atas pemilik sebuah kedai emas dengan kerugian berjumlah RM600,000 pada 4.43 petang, 16 Mei lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes.