ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

TANPA menunggu lama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron.

Ini susulan dakwaannya berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka di tengah kehangatan kemelut politik negeri itu baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut beliau, pertemuan yang melibatkan tiga pegawai SPRM itu berlangsung semalam pada jam kira-kira 3 petang di sebuah lokasi di Melaka.

Katanya, tiada sebarang dokumen diambil daripada Idris semalam berkaitan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, ujar Mohd Shahril, ia lebih kepada ‘maklumat awal’ berkaitan dakwaan itu.

“Saya mengesahkan kita telah berjumpa dengan beliau (Idris) dan pihak kami telah mengambil beberapa maklumat berkaitan dakwaan berkenaan dan kerjasama yang diberikan adalah baik.

“Ia lebih kepada maklumat awal berkaitan dakwaan itu dan maklumat tersebut telah dihantar ke Ibu Pejabat SPRM untuk dianalisis dan diperincikan bagi tindakan lanjut,” katanya seperti dilapor media.

Mohd Shahril berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun BPR/SPRM ke-54 peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dakwa rasuah di Melaka, SPRM mahu Idris Haron beri maklumat

Kerajaan UMNO di Melaka tumbang, Idris, tiga ADUN tarik sokongan

Idris dilaporkan mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir, yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka.

Berikutan itu SPRM dalam kenyataan semalam mahu menghantar pegawai menemui Idris susulan dakwaan tersebut.

Pada masa sama, suruhanjaya itu mengingatkan soal obligasi undang-undang untuk membuat laporan jika mempunyai maklumat rasuah.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram