JIKA dikembalikan semula pepatah, ke mana tumpanya kuah kalau tidak ke nasi, jadi inilah ceritanya. Perihal gabungan anak dan bapa dalam memberi hidangan buat santapan jiwa kepada khalayak melalui sebuah lagu.

Lagu yang diberi judul MemandangMu mempunyai pengertian yang besar untuk disampaikan kepada khalayak. Untuk lagu yang dinukil oleh Aidit Alfian ini, Teguh Budiman yang merupakan anak kedua Aidit dipilih untuk bertemu suara dengannya dalam sebuah lagu indah.

Melodi dan bait-bait liriknya ditulis dengan penuh makna dengan pembawaan kepada istilah cinta. Dalami lirik yang ditulis oleh Aidit Alfian, Raja Mukhlis dan Bakhtiar Effendy ini maka satu demi satu pencarian cinta akan didekati.

Menurut Aidit selaku penulis lagu, penulis lirik dan penyanyi lagu ini, dia bertemu cabaran tersendiri untuk membawakan MemandangMu yang merupakan lagu runut bunyi drama I.C.U yang ditayangkan di platform penstriman, Nurflix.

“Lagu ini pada saya tentang kisah percintaan dengan Tuhan. Untuk nak mencintai itu senang tetapi mesti bawa pada penyerahan. Kalau tak kenal bagaimana untuk cinta?.

“Saya menerima bait-bait lirik daripada Raja Mukhlis dan beberapa lagu untuk dipilih. Akhirnya melodi dan lagu yang paling sesuai diambil dan terjadilah MemandangMu nyanyian Teguh Budiman dan saya,” katanya yang juga penerbit untuk lagu tersebut.

ANTARA klip video yang ada dalam MemandangMU

Menarik untuk didalami dan diselusuri lirik MemandangMu kerana pemilihan lirik itu diambil daripada surah Al Baqarah ayat 115 dan An Nur ayat 35.

Menurut Aidit lagi, cabaran awal buat dirinya adalah dalam bentuk rakaman vokal yang mengambil masa hampir sebulan kerana membuat pemilihan yang tepat.

“Paling tertekan bila perlu menjaga vokal kerana saya bukan penyanyi dan tidak pernah jaga vokal sendiri, alhamdulillah, akhirnya siap juga.

“Pembikinan muzik untuk lagu ini tidak lama dan saya juga dapat bantuan daripada Pacai daripada segi susunan muzik. Semuanya kami buat di rumah kerana dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Menyentuh tentang pemilihan Teguh sebagai rakan duo dalam lagu terbabit, Aidit sendiri memilih untuk bernyanyi bersama. Malah lagu ini turut mendapat sentuhan anak muda seperti Raja Nazrin Shah (dari Sekumpulan Orang Gila- SOG) untuk rakaman cello.

“Lagu ini ‘kena’ kerana dalam drama I.C.U ini pun mengisahkan tentang hubungan anak dan bapa. Tidak susah untuk menjaga vokal Teguh kerana kami senang berkomunikasi dan dia pula boleh menyanyi dan berdiri lama.

“Bukan mudah untuk seorang penyanyi berdiri dan bertahan lama, tetapi dia mampu lakukan,” komen Aidit tentang anak lelakinya yang kini berusia 23 tahun.

Sementara itu, Teguh dia mengambil masa beberapa hari untuk merakamkan lagu tersebut bersama bapanya kerana mahu mendapatkan karakter yang tepat dengan lagu tersebut.

“Dalam dunia muzik, saya masih baru dan lagu MemandangMu merupakan satu ‘ breakthrough’ untuk saya lebih tahu tentang dunia muzik…bagaimana untuk saya menyampaikan sesuatu lagu kepada pendengar. Ia lebih kepada membina karakter.

“Ia lebih keada momen bertemu diri dalam lagu tersebut kerana lagu itu sebenarnya mengisahkan tentang seorang hamba. Bagaimana sikap kita terhadap Tuhan…apa yang kita inginkan, kita perlu dengan penuh adab meminta izinkan padaNya.

“Adab dan tajuk cinta itu sendiri tidak boleh dipisahkan. Saya melalui perasaan itu untuk memahami lagu tersebut. Tanpa bapa, sukar untuk saya melalui proses ini…ibarat ‘far to reach,” katanya penuh makna.

Apabila ditanyakan momen dan pengalaman bernyanyi bersama bapa, Teguh mengakui dia berasa selesa kerana perjalanan itu dituntun oleh sang bapa dengan caranya. Malah, akuinya, dia harus meletakkan jauh perasaan takut dengan kepakaran bapanya untuk berasa selesa.

“Jangan takut dengan ‘terror’ dia. Hanya kena menerima diri dia seadanya,” katanya seraya tertawa kecil.

Pada usia muda dan pencetus kemunculan di dunia muzik dengan lagu kerohanian, Teguh ditanyakan perihal perjalanannya kelak. Akui lelaki yang baru berjinak-jinak bermain alat muzik gitar itu dia tidak pernah tahu perjalanan seninya akan berada di tahap mana.

Justeru, dia meletakkan sepenuh pengharapan dan tanggungjawab kepada Aidit untuk merancang kanvas seninya pada masa akan datang.

“Untuk menjiwai lagi kerohanian pula, dengan kehadiran bapa, tenaga senang disebarkan. Cabaran dipermudahkan.

“Saya pergi ke set dengan rasa gemuruh namun semua tenaga kerja dan yang terlibat memberi tunjuk ajar dengan baik. Saya juga pertama kali menjalani penggambaran muzik video dengan Abang Nazrin yang selalu saya ketemu,” katanya.

Bertanyakan kembali Aidit Alfian perihal limitasi atau kelebihan menukilkan lagu runut bunyi untuk drama, dia mengakui bahawa kepuasan kali ini bercampur aduk.

“Pembikinan lagu jadi lebih fokus kerana ada jalan cerita tapi bila cakap fasal muzik, kadangkala terfikir kalau kualiti penggambaran atau adegan tidak selari dengan muzik, ia akan menyukarkan.

“Namun, Alhamdulilah saya diberikan lirik dan pemilihan kata-kata kena dengan lagu tersebut,” ujarnya yang kini sedang merangkakan single perdana solo buat Teguh Budiman.