KERAJAAN telah mewartakan kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Hutan Simpan Kekal tersebut akan dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) melalui siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 495/2021 bertarikh semalam.

Katanya, pewartaan hutan itu adalah untuk menggantikan kawasan Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh, mukim Cheras seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi pembangunan lebuh raya.

Menurut beliau, HSK itu diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah Seksyen 45 Akta 313.

“HSK di Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan Seksyen 2 dan Seksyen 114 (Jadual Kelima) Akta 313.

“Ia juga dibaca bersama Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 dan Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017.

“Pengurusan Hutan Simpan Kekal di Wilayah Persekutuan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: Takiyuddin lawat TNB, hargai sumbangan agensi tenaga itu kepada rakyat dan negara

Sebelum pewartaan ini, Takiyuddin berkata, HSK di Kuala Lumpur adalah seluas 68.27 hektar iaitu 0.28 peratus daripada keluasan tanah ibu negara yang meliputi Hutan Simpan Bukit Nanas (9.37 hektar), Hutan Simpan Sungei Puteh (14.51 hektar), Hutan Simpan Sungai Besi (42.29 hektar) dan Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

Kata beliau, penggantian HSK secara serentak itu telah meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35 peratus keluasan tanah keseluruhan.

“Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks Hutan Simpan Sungai Besi – Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar mewakili 78.13 peratus daripada keseluruhan kawasan HSK di Kuala Lumpur yang berperanan sebagai ‘jantung hijau’ bandar raya ini.

“Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini adalah selaras dengan hasrat serta cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

“Proses ini juga merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram