PADA suatu hari bertarikh 10 November, di sebuah hotel yang terletak di sebuah daerah di utara tanah air, datang seorang lelaki berusia 30-an untuk menginap di hotel tersebut.

Lelaki             : Ada bilik kosong?

Pekerja          : Ada lagi encik.

Lelaki             : Ada tak bilik bernombor 40? Saya nak bilik nombor tu je.

Pekerja          : Kejap encik, saya periksa. (Beberapa saat kemudian..) Ada encik, bilik 40 kosong. Tapi ini bilik family, besar. Encik seorang je kan?

Lelaki             : Ha ah, saya sorang je. Tak apa, saya ambil bilik tu. Yang penting bilik nombor 40.

Setelah menempah bilik itu, kebetulan pengurus hotel ada di kaunter. Lalu lelaki itu bertanya apakah pengurus itu boleh membantunya.

Lelaki itu memberitahu, dia memerlukan beberapa alat dan tidak kisah jika perlu membayarnya. Alat yang dia perlukan ialah sebilah pisau kecil berwarna hitam, sehelai benang putih sepanjang 60 sentimeter dan sehelai benang merah sepanjang 90 sentimeter.

Walaupun berasa aneh dengan permintaan tersebut, pengurus itu tetap menyediakan barang-barang yang dimintanya. Kerana dihantui rasa hairan, malam itu pengurus tersebut ambil keputusan untuk tidur di bilik bersebelahan dengan bilik 40 yang ditempah lelaki itu. Dia teringin sangat hendak tahu apa yang lelaki itu lakukan dalam bilik dengan barang-barang yang dimintanya.

Tepat tengah malam, pengurus itu mendengar pelbagai bunyi aneh dari bilik 40. Ada suara rintihan, pinggan jatuh dan cakaran pada dinding. Ada lagi bunyi pelik lain yang tak boleh dia gambarkan.

Pagi esoknya, lelaki itu pun datang ke lobi hotel untuk daftar keluar. Dia siap memberi tip yang banyak buat pekerja di situ.

Selepas lelaki itu pergi, pengurus hotel segera pergi memeriksa bilik nombor 40.             Tapi, bilik itu elok saja. Semua nampak rapi dan kemas, tiada apa yang rosak atau pun hilang. Dalam hati, pengurus itu tertanya-tanya, apa yang lelaki itu lakukan malam tadi?

SETAHUN kemudian, pada tarikh yang sama yakni 10 November, lelaki yang sama datang semula ke hotel itu. Sama seperti tahun lalu, dia meminta bilik bernombor 40, dan meminta pengurus hotel menyediakan pisau dan benang seperti dahulu.

Sama seperti tahun lalu, pengurus itu bermalam dan berjaga di bilik sebelah lelaki itu. Macam-macam bunyi didengarinya.

Esoknya bila lelaki itu keluar dari hotel, dia akan memberi tip lumayan untuk pekerja hotel. Bilik bernombor 40 itu juga kemas, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Tahun ketiga dan keempat, pun masih sama. Lelaki itu akan datang menginap pada tarikh 10 November dan minta disediakan alat yang sama.

Pada tahun kelima, lelaki itu muncul lagi pada tarikh yang sama. Kali ini, si pengurus hotel tidak dapat lagi menahan keinginannya. Dia mahu tahu apa yang lelaki itu buat dalam bilik tersebut. Mengapa dia datang pada tarikh yang sama dan apa gunanya barang yang dimintanya itu?

Pagi itu semasa lelaki itu hendak keluar dari hotel tersebut, si pengurus cepat-cepat menahannya.

Pengurus      : Maaf bang, saya nak tanya sikit. Da lama simpan. Harap abang tak marah.

Lelaki            : Tak apa. Nak tanya fasal apa tu?

Pengurus      : Dah beberapa tahun abang datang seorang diri ke sini pada tarikh yang sama, minta bilik yang sama, barang yang sama. Kalau abang tak keberatan, boleh saya tahu apa yang abang buat dalam bilik tu?

Lelaki :Hmm… saya boleh beritahu awak tapi dengan satu syarat. Awak kena janji tak boleh beritahu orang lain pun fasal ni. Apa jadi pun, cuma awak seorang je yang tahu.

Pengurus :Ok bang, saya janji takkan beritahu sesiapa pun.

Lalu, lelaki itu pun menceritakan apa yang dilakukannya dalam bilik bernombor 40 itu. Apa yang dia buat?

Entah lah. Pengurus hotel itu amat memegang teguh pada janjinya untuk tidak memberitahu apa yang diceritakan oleh lelaki tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

Sesungguhnya pengurus itu mempunyai sikap integriti yang tinggi dan amat berpegang dengan janji. Sampai habis baca kisah ni pun, memang kita tak kan tahu kisah yang berlaku di bilik itu.

            Keh keh keh…

  • Siapa yang marah lepas baca ni, bermakna dia seorang yang baran, mudah hilang sabar dan memerlukan lebih banyak pengisian jenaka dalam kehidupannya supaya tidak cepat tertekan dan mudah tersenyum. Jangan marah haaa….he he he

________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare