Resipi kuah kacang ini sebenarnya cukup mudah untuk disediakan, namun ada beberapa teknik dan rahsia yang wajib diketahui supaya hasilnya sedap terangkat.

Kuah kacang sesedap kuah sate ni memang enak digandingkan dengan nasi impit, boleh buat juallah orang kata.

Terima kasih Rafiza Idayu atas perkongsian resipi.

Ini bahan bahan kuah kacang marvellous.

Bahan :

Setengah kilo kacang tanah yang digoreng dan dikisar
3 biji bawang besar (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
2 inci halia (dikisar)
1 inci lengkuas (dikisar)
4 batang serai (dikisar)
10 tangkai cili kering (direbus dan dikisar)
Setengah sudu kecil udang kering
1 sudu besar asam jawa
1 ruas gula melaka
3 sudu gula perang
Garam secukupnya 

Ini tips goreng kacang :

Ramai sangat yang tertanya tanya kenapa goreng kacang hangus, kacang kena sangai ke atau kena buang kulit ke ?

Caranya adalah :

Okay, goreng kacang dengan minyak yang banyak. Macam goreng ikan. Api sederhana sahaja.

Kacang basuh dahulu. Buang batu dan kacang yang herot berot. Tapis.

Apabila minyak panas. Masukkan kacang. Kacang berada paras paras minyak. Tenggelam.

Goreng sehingga 3 suku masak. Bunyi meletop sebab kulit dia ada yang tertanggal. Warna kacang masih putih. Angkat dan tapis.

Kacang tanah mempunyai sifat ‘carry over cooking’ iaitu dia menyimpan panas di dalam dirinya sendiri. Yang membolehkan dia masak sepenuhnya setelah diangkat.

Sebab itu kalau kita cuba makan kacang yang baru diangkat, melecur mulut jahhh.

Kulit tak perlu dibuang. Semasa kisar, kisar sahaja selepas kacang telah sejuk. Selalunya saya akan sediakan kacang tanah sehari sebelum masak kuah kacang. Simpan kacang di dalam bekas kedap udara. 

Tumis bahan kisar hingga naik bau.

Bahan kisar iaitu bawang, serai, halia, cili kering dan lengkuas.

Pastikan minyak mencukupi semasa menumis.

Masukkan serbuk udang kering Anjaad.

Hati hati masukkan udang kering. Jika terlalu banyak boleh over powering rasa kuah kacang boleh spoil kuah kacang.

Udang kering yang dimasukkan tak boleh ada rasa udang kering akhirnya. (Hihi… macamana tu… sebab itu letak sedikit sahaja)

Nanti ada pula yang tanya mana nak dapatkan udang kering Anjaad, mudah sahaja kerana boleh dapatkan secara online di shop.amazingayu.com

Ataupun boleh intai intai di page @kedaiamazingayu (Kedai Amazing Ayu) .

Tumis bahan tumis sehingga pecah minyak. Pastikan guna api sederhana sahaja.

Kita mahu masakan kita masak mesra dan sekata.

Selepas pecah minyak atau terbit minyak, masukkan setengah cawan air. Air dalam gambar nampak tak cerah sebab gunakan air bilasan blender.

Kemudian masukkan kacang tanah yang telah dikisar.

Kemudian masukkan air lagi dalam 1.5 cawan. Agak agak kepekatan yang diingini.

Untuk makluman, kuah kacang akan memekat lagi setelah sejuk. Tidak mengapa jika kita masak sedikit cair kerana akan lagi memekat selepas sejuk.

Kacau sebati kuah kacang tadi. Setelah mendidih, masukkan gula melaka.

Gula melaka boleh gantikan dengan gula kabung, gula kerek, gula nisan atau gula nese. (Ikutlah panggilan negeri masing masing.

Untuk masakan, saya syorkan guna gula perang, gula nisan, gula melaka kerana rasanya hampir menyamai rasa gula semulajadi berbanding gula putih. Sangat sedap untuk digunakan dalam masakan.

Masukkan air asam jawa. Asam jawa ambil dalam satu sudu besar.

Yang ini boleh gantikan dengan asam keping atau serbuk asam gelugur Anjaad. Pastikan kemasaman juga tidak empowering kuah kacang kita. Kemasaman ini untuk mengimbangkan rasa kuah kacang.

Renehkan kuah kacang menggunakan api sederhana sahaja. Tempoh masa renehan adalah sehingga pecah minyak.

Jika kita lihat minyak timbul dengan agak banyak adalah kerana minyak dari tumisan dan minyak yang keluar dari kacang tanah itu sendiri.

Jika tak suka minyak berladung, boleh diangkat keluar minyaknya.

Amacam… cantik tak kejadian kuah kacang seumpama kuah sate. Emmm.. makan dengan nasi impit memang tak pandang kiri kanan.

Sumber : Rafiza Idayu