Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (tengah) tidak melepaskan peluang menyertai acara sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021. GAMBAR: Facebook Shahidan Kassim

Selepas berkongsi nombor telefon peribadinya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim bukan sahaja menerima panggilan mengenai kerosakan jalan raya di Kuala Lumpur sebaliknya juga berkaitan permasalahan lain yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata masalah lain yang banyak diterima adalah seperti permohonan mendapatkan rumah projek perumahan rakyat (PPR) dan bantuan kewangan.

“Saya terima lebih 1,000 panggilan telefon sehari, bukan aduan jalan berlubang sahaja tetapi bermacam-macam sampai telefon saya ‘jammed’ (tidak dapat berfungsi). Ada juga yang sengaja call (hubungi) tanpa sebab.

“Saya berusaha untuk melayani setiap panggilan namun saya juga minta maaf kerana tak dapat menjawabnya. Jadi, saya minta mereka untuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 (HSN 2021) peringkat Wilayah Persekutuan dan kementeriannya yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Putrajaya, hari ini.

Pada Khamis, Shahidan dalam sesi penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya, menyebut nombor telefon peribadinya untuk dihubungi bagi membuat aduan, rungutan dan makluman mengenai kerosakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Baca artikel berkaitan: ‘Jalan rosak, hubungi saya, tindakan 24 jam’ – Shahidan

Pada masa sama, beliau turut berkongsi nombor telefon timbalannya Jalaluddin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sementara itu, Shahidan berkata, terdapat 100 program dan aktiviti sukan yang berlangsung sepanjang HSN 2021 di peringkat Wilayah Persekutuan dan kementerian antaranya adalah “Keluarga Malaysia: Fit and Active Family HSN 2021”, pertandingan Kursus Asas Ikatan, pertandingan e-Sukan FIFA 2021 dan “Let’s Get Fit During Pandemik”.

Beliau turut tidak melepaskan peluang menyertai acara jalan laju sejauh tiga kilometer dari Menara Seri Wilayah ke kawasan sekitar Tasik Putrajaya dan Taman Wawasan.

“Aktiviti sukan ini akan dijalankan secara berterusan bagi memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan untuk bergiat aktif sekali gus membudayakan gaya hidup sihat,” katanya. – BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram