Tak perlu berhabis ribuan ringgit untuk kekal awet muda. Lupakan botox, suntikan kolagen dan pembedahan plastik kerana hasilnya sudah tentu tidak sama dengan keindahan ciptaan tuhan.

Di Amerika Syarikat, terdapat sebuah salun kecantikan yang cuba melawan arus kemodenan dengan menawarkan satu cara aneh untuk kelihatan awet muda. Teknik yang ditawarkan tidak menggunakan sebarang ubat atau pembedahan, tetapi hanya menggunakan kaedah terapi menampar pada wajah.

Salun tersebut yang diberi nama Tata Massage telah diperkenalkan oleh sepasang suami isteri bernama Mawin dan Tata Sombuntham. Dengan hanya menggunakan tangan untuk menampar pada bahagian wajah, ia dipercayai  mampu menghilangkan kerutan dan mencegah tanda-tanda penuaan.

Rawatan yang digunakan sangat mudah. Menurut Tata, bahagian muka akan disapu terlebih dahulu dengan sejenis ramuan herba khas. Kemudian, dia akan merawat dengan cara urutan dan menampar bahagian muka pelanggan dalam tempoh antara 15 minit.

Menurut Tata atau nama sebenarnya sebagai Rassameesaitarn mengatakan, dia memberi jaminan bahawa pelanggan tidak perlu menunggu lebih lama untuk melihat perubahan pada wajah mereka setiap kali selesai sesi rawatan. Menariknya, sesi rawatan akan diulangi sehinggalah pelanggan berpuas hati. Ternyata, ramai pelanggan yang datang ke salunnya gembira melihat perubahan pada wajah mereka.  

Jelas wanita itu lagi, sejak diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kebanyakan pelanggannya adalah wanita dan tidak kurang lelaki dari pelbagai latar belakang yang berusia antara belasan hingga 40 tahun.

Apa yang menarik ialah kaedah rawatan yang diwarisi secara turun temurun iaitu 100 tahun lalu turut mendapat pengiktirafan daripada pakar-pakar kecantikan di Amerika Syarikat. Malah, pihak kerajaan tempatan negara itu turut mempromosikan teknik ini sebagai kaedah alternatif kepada pembedahan plastik dan suntikan botox.

Bahkan, rawatan ini juga dikatakan lebih semula jadi dan selamat sekali gus tiada kesan sampingan terhadap individu yang mendapatkan perkhidmatan ini. Berbeza dengan kaedah pembedahan dan suntikan botox, kesannya tidak boleh dijangka dan mungkin boleh memudaratkan kepada masalah kesihatan.

Jelas Tata, respons daripada pelanggannya juga amat memberangsangkan. Sekalipun sedikit sakit ketika menjalani rawatan, kebanyakan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan ini sangat berpuas hati dengan hasil tangan ajaib wanita tersebut. Rata-rata mereka berasa puas apabila melihat perubahan seperti pori-pori kulit mula mengecil dan garis-garis kerutan pada wajah semakin kurang.

Harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah jika hendak dibandingkan dengan teknik moden seperti pembedahan plastik atau suntikan. Pelanggan hanya perlu membayar sekitar USD 350 dolar untuk satu sesi rawatan menampar muka.

Selain menawarkan terapi tersebut, wanita berkenaan turut membuka kelas mengajar teknik terapi tampar muka. Sambutan yang diterima juga agak menggalakkan dan kini dia sudah mempunyai 10 orang pelatih di kelasnya.

Info ringkas terapi tampar muka

  • Kaedah rawatan tradisional Thailand yang diwarisi secara turun temurun iaitu 100 tahun lalu.
  • Rawatan yang digunakan sangat mudah iaitu cara urutan dan menampar bahagian muka pelanggan dalam tempoh antara 15 minit.
  • Pelanggan tidak perlu menunggu lebih lama untuk melihat perubahan pada wajah selepas selesai sesi terapi.
  • Rawatan ini juga dikatakan lebih semula jadi dan selamat sekali gus tiada kesan sampingan terhadap pengguna.
  • Turut diperakui kaedah terapi tersebut daripada pakar-pakar kecantikan di Amerika Syarikat.