PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika majlis pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2021, di Putrajaya, hari ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiga perancangan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pembangunan sukan negara dengan memperkasa penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sumber baharu ekonomi.

Sehubungan itu, Ismail Sabri ketika menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 telah melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) serta penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

Kata beliau, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan itu merupakan dokumen komprehensif menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasa penglibatan serta penyertaan golongan itu dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan lebih inklusif dan seimbang.

Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997 serta dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa Piagam Olimpik, Agenda Olimpik 2020, Pelan Tindakan Kazan serta Konvensyen Penghapusan Segenap Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Susulan itu juga, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini.

Baca artikel berkaitan: PM lancar Skuad Keluarga Malaysia, selaras mekanisme penyampaian bantuan

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

“Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan serta kepegawaian,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyedari pentingnya pembangunan bakat-bakat sukan bagi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa.

Justeru, beliau turut melancarkan MyTID melalui kerjasama rentas kementerian antara KBS dan Kementerian Pendidikan (KPM-KBS).

Beliau berkata, program MyTID KPM-KBS itu dianggarkan bakal melibatkan seramai 500 guru tenaga penguji terlatih dikenali sebagai Talent Eagle serta sasaran penyertaan seramai 60,000 murid sekolah rendah melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.

“Program ini dijangka membantu memperluas penyertaan bakat-bakat baharu seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat,” jelas beliau.

Selain itu, Perdana Menteri turut memaklumkan KBS sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara seiring perkembangan di peringkat global.

Kata beliau, pelan itu wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion tahun lalu dan dijangka terus berkembang mencecah AS$599 bilion pada tahun 2025.

“Data yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah.

“Secara keseluruhan, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, program MyTID KPM-KBS dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan serta pembangunan sukan yang sedang dibentuk KBS melalui Visi Sukan Negara 2030,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram