“APA yang saya hamparkan kepada pembaca DCCK minggu ini bukan saya nak tunjuk pandai, mengumpat, apatah lagi memperkecilkan peranan kaum lelaki sebagai suami, tetapi sebagai penambah ilmu dalam kehidupan berkeluarga kerana ia memberi banyak  kesedaran kepada saya dalam melalui kehidupan berumahtangga yang amat rumit lagi mencabar ini. 

“Dulu zaman remaja seronok tak terkira bila bercinta, bila memasuki alam percintaan setelah bekerja, saya merasakan bahawa kejayaan pasangan kekasih itu adalah apabila mereka berjaya mendirikan rumah tangga dengan calon suami pilihan hati. Tetapi rupa-rupanya tidak, itu hanya angan-angan orang bercinta. 

“Sebenarnya, perkahwinan itulah permulaan cabaran dalam kehidupan. Kerana itu, ilmu berumah tangga amat penting. Ia boleh kita kutip dari jiran tetangga, saudara dan rakan-rakan jika kita mahu buka mata. Kegagalan sesetengah mereka dalam rumah tangga boleh menjadi contoh teladan untuk kita memperkukuhkan diri dan bersedia menghadapi apa juga cabaran. 

“Ilmu ini amat unik, tak boleh kita kutip dari buku atau ilmu psikologi, sebaliknya boleh lihat sendiri dari pasangan suami isteri yang ada di sekitar kita.’’ Itu cerita Jasmin ketika berbual dengan beliau baru-baru ini. 

“Bila saya baca kisah-kisah yang dipaparkan dalam DCCK, saya rasa banyak kebenarannya dan tak banyak bezanya dengan apa yang saya lihat berlaku di sekeliling saya. Contoh, ketika saya tinggal berjiran dengan pasangan suami isteri di kawasan perumahan terkenal di KL lebih 10 tahun lalu.

“Bukan niat saya mengumpat tetapi dari perjalanan hidup pasangan ini yang saya namakan Kak Has dan Abang Dee banyak menyedarkan saya bahawa cinta bukan segala-galanya. Cinta bukan jaminan kebahagian berumah tangga. Semuanya akan hilang jika tidak ada perasaan sayang dalam hati satu-satu pasangan itu.  

“Ambil contoh dari kehidupan Kak Has dan Abang Dee. Pada saya pasangan ini bukan sahaja gagal dalam hidup berkeluarga, malah telah memusnahkan kehidupan anak-anak mereka seramai 3 orang itu. 

“Dulu, masa mula-mula pindah ke rumah sewa ini, saya rasa hidup saya tidak aman langsung sebab sering terdengar Abang Dee menjerit-jerit marahkan anak-anaknya, baik kalau suruh mereka mandi, makan ataupun meleraikan pergaduhan mereka adik beradik. Bukan sahaja suaranya keras dan kasar, tetapi perkataannya amat menyakitkan hati. Rasanya kalaulah saya anak mereka, dah lama saya lari. Tetapi bila dengar suara Kak Has memujuk, tetiba hati saya rasa terharu dan sedih. 

Kami cukup sakit hati bila dengar Abang Dee memaki hamun Kak Has dan anak-anak mereka.

“Paling benci bila Abang Dee memaki hamun Kak Has. Perkataan bodoh, bangang, perempuan tak guna, malah lebih teruk lagi pun pernah keluar dari mulutnya. Sakitnya hati saya, tetapi Kak Has diam sahaja, tak menjawab selain terdengar sedu sedan bila suaminya sudah keluar. 

“Abang Dee memaki Kak Has boleh dikatakan sekali dalam seminggu. Kadang kala dua kali seminggu. Sabarnya Kak Has kena maki, dia boleh mendiamkan diri. Paling tak tahan bila dengar pinggan dan piring dilempar ke lantai (mungkin) berderai, periuk dan kuali dilempar ke sinki. Kami yang tinggal sebelah pun terkejut. Tapi apa boleh kami buat selain mendiamkan diri dan mendengar.   

“Kami pernah berbincang tentang nasib Kak Has. Kata ketua rumah sewa kami Cik Jun, yang kami gelar Tuai rumah, kalau dia jadi Kak Has dah lama dia baling pisau pada Abang Dee. Apa nak jadi kemudian jadilah, dia tak peduli. Sally pula kata, kalau dia, dah lama dia minta cerai. Demikian juga dengan Rina dan Dotty.

“Saya pun menyampuk, kita bukan kuli. Kita isterinya. Sepatutnya dia sayang kita sebab telah melahirkan anak-anak untuknya dan menyediakan makan minum untuk menyenangkan hidupnya. Ini kita pulak dimaki hamun. Siapa boleh tahan. 

“Pendek kata kami bersimpati dengan Kak Has. Tetapi kami tak pernah ada kesempatan berbual dengannya. Balik kerja, Kak Has bimbit anak kecilnya berusia 6 tahun terus masuk rumah. Kata Sally, dia pernah nak tumpangkan Kak Has, tetapi ditolak dengan alasan nak singgah kedai. 

“Sebenarnya bukan dengan Kak Has saja kami tak dapat berbual, dengan anak-anaknya pun kami tak dapat bercakap. Pernah kami cuba tegur, tapi mereka tak pandang pun. Kami rasa tentu anak-anak Kak Has sudah diberi amaran jangan berbual dengan jiran. Dengan jiran lain pun mereka tak rapat. Akhirnya kami diamkan aja keluarga ini. Terpulanglah kepada mereka apa nak jadi. 

Anak-anak Kak Has dan Abang Dee tidak berkawan dengan kanak-kanak lain. Mereka juga mengelak daripada berbual dengan kami.

“Nak jadikan cerita, satu petang Sabtu, pintu rumah kami diketuk. Kebetulan yang ada di rumah cuma saya dan Dotty. Bila pintu dibuka, saya terkejut tengok Kak Has bersuara meminta tolong hantarkan ke klinik. Anaknya demam, suaminya dah 2 hari tak balik, kerja luar. 

“Macam lipas kudung kami bingkas cari tudung dan bag tangan. Dotty kunci rumah, saya ajak Kak Has dan anaknya masuk kereta. Klinik taklah jauh sangat, tetapi rasanya anak Kak Has tak kuat berjalan. 

“Sejam kami menuggu barulah selesai dan kami balik bersama, walaupun Kak Has beritahu jangan tunggu, dia boleh balik rumah dengan teksi. Ketika menunggu doktor inilah kami sempat bertanya Kak Has tentang anaknya. 

“Kata Kak Has, dah dua hari anaknya demam panas dan tak ke sekolah. Dia tinggal di rumah sendirian sebab dah biasa. Dia tak sangka demam anaknya jadi serius, agaknya kerana terkena minyak panas yang tertumpah terkena kakinya. Terkejut kami, kena minyak panas Kak Has boleh diamkan. Katanya sikit aja, tak sangka pulak melarat sampai demam. 

“Malam tu saya dan Dotty berbincang, macam mana boleh kena minyak panas kaki budak berumur 8 tahun. Adakah kena siram minyak panas? Atau kena seterika panas, atau kena sendok panas? Macam-macam teka teki kami, kerana tiada jawapan kami tertidur. 

“Dua hari kemudian, Kak Has datang minta tolong hantarkan ke klinik lagi. Saya dan Dotty meluru ke luar beri bantuan. Kawan yang lain kehairanan. Ketika menunggu doktor inilah kami bertanyakan soalan. Nampak Kak Has sedia berbual. Katanya dia letakkan kuali dengan minyak masih panas di sinki, tak sangka pulak ada senduk terpelanting termasuk dalam kuali dan minyak terpercik kena kaki anaknya. Ooo gitu!!!! 

“Sampai di rumah, ramailah berkerumun bertanya. Kami bercerita apa yang berlaku, malangnya tak seorang pun percaya cerita Kak Has. Ramai yang mendakwa ini mesti kerja Abang Dee, sebab tu dah beberapa hari tak balik rumah. 

“Orang yang paling kuat menyangkal cerita Kak Has, tentulah Jun, `Tuai’ rumah kami. Malam itu barulah Jun bercerita tentang Kak Has dan Abang Dee. Katanya, dia tak suka bercerita, biar kami sendiri dengar dan lihat. Tapi kalau dia jadi Kak Has dah lama dia bercerai.

“Sudahlah Abang Dee tak ada kerja tetap tapi ada dua isteri. Mangsanya tentulah Kak Has yang dipaksa pikul tanggung jawab menguruskan keluarga, sewa rumah dan sebagainya. Kerana pendapatan tak banyak, hiduplah Kak Has dalam serba kepayahan. Lagi seksa bila Kak Has dipaksa cari duit untuk keperluan suaminya. Memang menyakitkan hati kami yang mendengar. 

“Cerita Jun lagi, dulu Abang Dee ada kerja bagus, pakai kereta mahal, ada motosikal besar. Tetapi dia kena buang kerja. Semasa hidup mewah, Abang Dee ada isteri baru. Rahsia ini terbongkar bila suatu hari kecoh rumah Kak Has bila basikal anak-anaknya kena humban sementara pasu bunga dipecahkan oleh seorang wanita. 

Kami kesian dengan nasib Kak Has. Suaminya hidup senang dan berkahwin tiga sedangkan dia dan anak-anak hidup menderita.

“Kata Jun, mereka terkejut fikirkan anak-anak Kak Has jatuh. Bila kami keluar terdengar suara seorang wanita memaki hamun Kak Has. Kami fikir tentu anak-anak Kak Has bergaduh dengan anak wanita itu. Tetapi bunyi si penyerang lain macam. Dia bagi amaran kalau Abang Dee tak balik, dia akan serang lagi rumah Kak Has. Macam-macam amaran kami dengar, tetapi Kak Has langsung tak menjawab dan tak keluar rumah. 

“Bila nak keluar pagar sempat wanita itu bagitahu bahawa dia isteri yang sah, dah ada anak, siapa nak bagi makan anaknya kalau Abang Dee tak balik. Dia tuduh Kak Has sorokkan Abang Dee tak bagi datang ke rumahnya. 

“Cerita Jun lagi, kami jiran kepoci ni tertawa besar kerana setahu kami Abang Dee memang jarang balik rumah, katanya kak Has sibuk bekerja. Dipendekkan cerita, jelaslah Abang Dee kahwin dua, tetapi bab tak balik rumah kami syak tentu ada nombor 3, sebab memang kami lihat Abang Dee sibuk hingga tak balik rumah. Tapi kesianlah Kak Has jadi mangsa. 

“Kata Jun, ketika itu hidup Abang Dee kelihatan mewah. Ada kereta Honda termahal, ada motosikal besar dan selalu konvoi dengan kawan-kawannya. Sebuah lagi kereta Vios. Tetapi Kak Has kami lihat masih memandu kereta Proton Saganya yang diparkir di tepi lorong rumahnya. 

“Boleh dikatakan hidup Abang Dee mewah, ketika inilah dia kahwin lagi, tapi Kak Has tetap macam biasa, sering  dimaki hamun dan dipinggirkan. Tetapi kemewahan abang Dee tak kekal. Sebuah demi sebuah keretanya hilang dari pandangan kami. Akhirnya Abang Dee guna kereta Proton Saga Kak Has aja, cerita Jun lagi. 

“Pada zaman mewah inilah Kak Has diserang oleh madunya kerana marahkan Abang Dee tak balik rumah. Kami rasa pelik juga mengapa isteri muda serang Kak Has, isteri pertama. Berani sungguh dia. Tapi segarang-garang dia pun kena tinggal juga. 

“Kami terlopong dengar cerita Jun. Patutlah kami perhatikan Kak Has tak pernah ada tetamu, baik saudara maranya ataupun Abang Dee. Mereka tinggal anak beranak. Walaupun anak Kak Has sudah berusia 10, 8 dan 6 tahun, mereka tak pernah keluar bermain dengan kanak-kanak sebaya. Mereka sentiasa dalam rumah, bermain adik beradik.  

“Kak Has bekerja dan dia tinggalkan 2 orang anaknya sendirian di rumah dan mereka ke sekolah sendirian dengan bas sekolah. Anak kecilnya di antar ke tadika dan balik ke rumah pengasuh. Pendek kata, anak-anak Kak Has memang berdisiplin dan pandai berdikari. 

“Akhir cerita, Jun bertanya kalau kami jadi macam Kak Has, apa kami buat? Serentak semua setuju minta cerai. Kalau suami tak ceraikan, dia bakal ditinggalkan, siapa nak jadi kuli dan hamba kepada manusia yang tak sedar diri dan tak tahu tanggung jawab macam Abang Dee. 

“Namun Dolly bercerita masih ramai wanita yang berkerjaya hidup macam Kak Has. Malah lebih teruk, ada isteri bekerja mencari rezeki, tapi dipaksa beri wang gajinya setiap bulan kepada suami. Wanita ini lebih menderita lagi hidupnya.

“Serentak kami berkata, dah nasib wanita. Tetapi kata Jun, selagi wanita tak mahu berubah, maka selagi itulah dia akan diperhambakan oleh suami, sedangkan suami yang patut bertanggung jawab menguruskan isteri dan anak-anaknya. 

Lelaki jangan anggap isteri sebagai kuli.

“Walaupun cerita yang saya paparkan ini berlalu lebih 10 tahun dahulu, tetapi ia masih  berlaku hingga kini. Sebab itulah saya mengambil iktibar dari cerita-cerita seperti ini, juga kisah yang dipaparkan dalam DCCK menjadi ilmu rumah tangga yang amat mahal harganya yang tidak terdapat dalam buku bacaan. 

“Dan lebih penting, saya sampaikan ilmu rumah tangga ini kepada suami ketika berkahwin dahulu, dengan ingatan, jalankan tanggung jawab sebagai suami dan ketua keluarga. Jangan anggap isteri kuli, sebaliknya anggapkan isteri sebagai rakan kongsi seperti sebuah syarikat, jika salah satu pihak menyeleweng, maka hancarlah syarikat itu.

“Saya beri ingatan, saya tidak takut kehilangan rakan kongsi yang menyeleweng, tidak pandai mengurus syarikat, tidak amanah dan mengkhianati rakan kongsinya, dan saya sedia bersendirian.’’ Demikian nasihat Jasmin kepada para isteri supaya jangan takut jadi ibu tunggal, semata-mata kerana sayangkan suami yang tidak bertanggung jawab. 

Oleh : MAIMUNAH YUSOF   

——————————————–  

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam