gadis jawab curang
Shu kecewa selepas bekas kekasihnya enggan menerima penjelasannya.

SELEPAS enam hari tular satu video pendek di aplikasi TikTok memaparkan seorang gadis didakwa curang dengan lelaki lain yang dimuat naik seorang pemuda yang merupakan teman lelakinya, akhirnya gadis itu tampil menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Gadis berusia 20 tahun hanya ingin dikenali sebagai Shu mengatakan, biarpun warganet mengecam dirinya dengan pelbagai bentuk hinaan dan cacian, dia tetap menerimanya kerana mereka tidak tahu kisah sebenar.

Shu yang ditemu bual UtusanTV mengatakan, apa yang dilihat warganet hanyala sedikit daripada sedutan video yang sengaja dibuat bagi mengelirukan supaya dirinya nampak bersalah dan jahat di mata masyarakat.

Ujarnya, bukan hendak menangguk di air keruh tetapi masyarakat perlu tahu cerita sebenar sebelum menuduh tanpa usul periksa dan hanya mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

“Curang pastinya tidak pernah berlaku,” jawab ringkas Shu mengenai dirinya dituduh curang.

Katanya, pemuda yang dilihat bersamanya di dalam kenderaan pada hari kejadian merupakan pembantu kepada rakan kongsi perniagaannya dan bukan orang ketiga seperti yang dilemparkan oleh bekas kekasihnya dan orang ramai.

“Sepatutnya saya ada mesyuarat pada hari tersebut, tapi rakan kongsi saya ada kerja luar, jadi dia hantar assistant dia kepada saya,” luah Shu.

Sebelum ini tular sebuah video memaparkan Shu “kantoi” bersama lelaki lain dalam video pendek berdurasi 25 saat berkapsyen “sebab aku keja foodpanda kau cari orang lain?, Alhamdulliah tuhan tunjuk perangai kau sebelum kita tunang!”.

Video itu sehingga kini ditonton lebih 6.1 juta kali dengan 453,000 tanda suka.

UtusanTV melaporkan, pemuda dalam video berkenaan telah menerima pelbagai komen daripada warganet dan rata-rata mengecam tindakan wanita yang dikatakan curang selepas memandang rendah kerjaya sebagai FoodPanda.

Baca artikel berkaitan: ‘Sebab aku keja Foodpanda kau cari orang lain?’, 5.8 juta tonton kekecewaan pemuda ini selepas kekasih curang

Digigit lintah sebesar ibu jari, hampir 2 juta tonton pemuda tarik di telapak tangan

Jelas Shu dakwaan bekas kekasihnya bahawa dirinya berubah hati disebabkan pekerjaan dan menghina kerjaya tersebut adalah sama sekali tidak berasas.

“Setahu saya, kalau saya tak suka pekerjaan dia… dari awal saya takkan terima dia. Dia cakap saya hina pekerjaan dia, saya nak cakap dia sengkek ke, memang takda saya cakap mcm tu,” jelas Shu mengenai dakwaan itu.

Kata Shu, dia bukan sahaja bersedih selepas dituduh macam-macam, malah hubungan yang dibina sejak lima tahun lalu berakhir begitu sahaja.

“Saya dengan dia sama-sama merancang bertunang hujung tahun ini,” kata Shu dalam nada sedih.

Ketika ini hanya keluarga sahaja tempat dirinya bergantung dan kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan.

“Saya sedih sehingga hari ini bekas teman lelakinya tidak memberi peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar”.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram