ANTARA suspek yang ditahan kerana menunggang secara merbahaya di sekitar ibu negara. Foto JSPT KL

SERAMAI 19 lelaki ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan merbahaya di sekitar ibu negara.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua individu itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Pelbagai yang diadakan bermula pukul 9 malam Jumaat dan selesai pada pukul 4 pagi tadi.

Beliau berkata, operasi yang disertai seramai 74 pegawai dan anggota itu diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Parlimen dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

“Dalam Operasi Pelbagai, polis menahan seramai 14 lelaki berusia 25 hingga 65 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan akan dituduh mengikut seksyen sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, bagi Operasi Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya NPE dan Jalan Parlimen, Sarifudin berkata, Unit Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur menahan lima lelaki yang menunggang secara merbahaya dengan melakukan aksi zig zag, roket, superman serta bersaing.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 25 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara merbahaya.

Ujarnya, secara keseluruhan sebanyak 333 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 17 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubah suai ekzos.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya.

Sementara itu, Sarifudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.