Sekitar kurun ke-16, terdapat satu amalan aneh meminum emas yang dipercayai mampu membuatkan wajah kelihatan awet muda. Ia difahamkan sangat popular dan dipraktikkan di kalangan wanita bangsawan di negara Perancis.

Mengikut laporan sebuah akhbar, The Telegraph, amalan ini pernah dipraktikkan oleh seorang bekas isteri Raja Perancis, Henry II yang bernama Diane de Poitiers. Difahamkan, beliau telah mengamalkan minuman cairan logam ini sebagai kaedah alternatif bagi mengekalkan kejelitaan yang dimilikinya.

Kenyataan tersebut dibuktikan oleh sekumpulan penyelidik arkeologi dari negara tersebut sewaktu melakukan ekskavasi di kubur wanita berkenaan empat tahun lalu di istana lama dikenali Anet. Ia berikutan penemuan sejumlah besar kandungan emas yang terdapat pada cebisan rambut milik wanita itu.

Berdasarkan kajian selanjut mengenai penemuan itu, kumpulan penyelidik terbabit telah mengemukakan andaian kemungkinan Poiters mempraktikkan amalan meminum emas sejak sekian lama.

Bagi mengukuhkan lagi andaian tersebut, mereka turut mendakwa amalan meminum emas berkait rapat dengan satu kepercayaan kuno di Perancis. Ia merujuk pada sejenis logam berwarna kuning yang lain tidak bukan adalah emas. Kepercayaan ini dipegang kuat khususnya golongan bangsawan yang menganggap ia sebagai objek suci dalam seluruh aspek kehidupan mereka.

Selain dikaitkan dengan kepercayaan kuno, kumpulan penyelidik berkenaan turut menjelaskan emas menjadi bahan penting dalam pembuatan bahan kimia satu ketika dahulu. Dipercayai, penggunaan logam ini cukup popular di kalangan ahli-ahli kimia pada zaman Eropah kuno sebagai salah satu campuran bagi menghasilkan cairan kimia tertentu.

Berita mengenai penemuan tersebut turut diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan, British Medical Journal. Dalam jurnal tersebut menyatakan, amalan meminum cecair emas turut dikaitkan sebagai penyebab utama kematian wanita bangsawan itu.

Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan dua orang pakar forensik dari Hospital Morguea Paris, Dr. Joel Poupon dan Dr. Philippe Charlier mendapati, wujud tindak balas kimia di dalam badan wanita berkenaan. Ia dipercayai akibat Poiters yang meminum cecair emas dalam tempoh yang lama sekali gus, menyebabkan kesan sampingan jangka panjang pada seluruh sistem tubuh badan Poiters.

Selain menjalankan bedah siasat rangka yang ditemui, dua orang pakar forensik tersebut turut melakukan penyelidikan ke atas cebisan rambut milik wanita bangsawan itu. Didapati, keputusan yang diperoleh sama dengan teori yang dikemukakan kumpulan arkeologi sebelum ini.

Menurut Charlier, kesan pengambilan minuman cecair emas tersebut turut meninggalkan kesan ke atas rambut milik Poiters. Kesan ketara dapat dilihat adalah daya ketahanan rambut yang mudah cepat rosak dan gugur. Selain itu, di bahagian tulang dan gigi turut kelihatan rapuh dan cepat patah.

Timbul persoalan, sejauh manakah amalan meminum cecair emas mampu mengekalkan awet muda? Dari segi logik akal, emas merupakan sejenis logam yang cukup berharga dan bukan semua orang mampu untuk mengamalkannya. Dan, sudah semestinya amalan ini sangat berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Pakar juga tidak mampu mengemukakan jawapan dan memberikan alasan tidak pernah berhadapan dengan kes seumpama ini.

Dari segi kesannya pula, pakar-pakar yang ditanya tidak menolak kemungkinan boleh mendatangkan kesan buruk terutamanya pada sistem pencernaan di dalam badan.

Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu mungkin akan mengalami situasi seperti, khayal, pengsan, pening, muntah atau cirit-birit yang berlarutan. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian organ-organ tertentu di dalam badan iaitu usus, paru-paru, mulut dan esofagus.

Mengulas mengenai kes Diane de Poitiers, ia sesuatu yang agak mengejutkan khususnya dalam dunia perubatan. Jika diteliti, wanita bangsawan ini langsung tidak mengalami sebarang komplikasi buruk sepanjang dia meminum cecair tersebut. Setakat ini, agak sukar untuk memastikan dakwaan yang mengatakan amalan meminum cecair emas boleh dijadikan agen untuk kelihatan awet muda. Ini kerana, masih belum ada kajian yang dapat membuktikan dakwaan itu.

Merujuk  pada kes ini, berlaku satu proses yang dipanggil sebagai proses adaptasi-proses penyesuaian yang berlaku secara biologi di dalam badan. Proses ini biasanya berlaku dalam pelbagai faktor. Antaranya ialah disebabkan pengaruh genetik, tekanan daripada kawasan persekitaran dan pengaruh di dalam sesuatu budaya.

Selepas kematian Raja Henry II, wanita bangsawan ini telah dibuang negeri dan dihalau dari istana oleh madunya, Catherine de’Medici ke sebuah istana Anet yang terletak di wilayah Dreux, Perancis. Pada tahun 1566, beliau disahkan meninggal dunia di istana tersebut sewaktu berusia 66 tahun.