Jengkaut dipandu melanggar sebuah Ford Ranger dalam kejadian di sebuah kebun di Telok Intan Rabu lalu./ Gambar media sosial.

DALAM satu video tular, dapat dilihat bagaimana sebuah jengkaut dipandu melanggar kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger.

Selain itu, jelas kedengaran pertengkaran mulut dalam antara beberapa lelaki dalam video berkenaan.

Menggerunkan juga melihat video tersebut bagaimana hal-hal tak puas hati boleh sampai ke tahap sebegitu sekali.

Menurut Polis Daerah Hilir Perak, tiga lelaki ditahan susulan insiden berkenaan yang berlaku di kebun kelapa sawit di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong, Telok Intan Rabu lalu.

Ketuanya, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air kerana kawasan tersebut dinaiki air, pagi Rabu lalu.

Namun, katanya, apabila mangsa dan bapanya yang menaiki Ford Ranger itu tiba di kebun mereka pada jam 2.30 petang, hari sama, kedua-duanya mendapati laluan yang digali telah ditimbus beberapa individu yang tidak dikenali mereka.

Jelas Ahmad Adnan, kira-kira 30 minit kemudian, kedua-dua beranak itu didatangi tiga lelaki termasuk seorang daripadanya memandu sebuah jengkaut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.

Beliau berkata, bapa mangsa cuba memaklumkan tujuan parit digali namun tetap dimarahi sebelum seorang daripada lelaki terbabit menampar leher mangsa manakala pemandu jengkaut bertindak melanggar Ford Ranger itu hingga mengalami kerosakan.

“Pemandu jengkaut itu kemudian keluar daripada kenderaannya dan mengejar bapa mangsa sambil membawa tukul besi yang menyebabkan ketakutan kepada mangsa dan bapanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, ounca kejadian berlaku dipercayai disebabkan laluan yang digali mangsa merupakan laluan utama bagi pekebun sawit untuk ke kawasan tersebut dan mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar tidak bertangkung di kebun milik mangsa.

“Disebabkan parit digali di tengah jalan, ia akan menyukarkan pekebun sawit lain yang terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun” jelasnya.

Ahmad Adnan berkata, ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu yang tidak mempunyai rekod jenayah kini sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 323, 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Dua daripada mereka yang berusia 28 tahun manakala seorang lagi berusia 47 tahun ditahan kira-kira 4 petang selepas polis menerima laporan kejadian daripada mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun,” ujarnya.