BILA orang sibuk main wau, Pak Pandir pun hendak main wau juga. Petang tu, Pak Pandir turun ke padang, terbangkan wau tinggi ke awan. Ramai lah anak-anak muda kampung yang ada di situ melihat Pak Pandir bermain wau.

Semakin lama, semakin tinggi wau Pak Pandir terbang membelah udara.

“Lagi Pak Pandir! Naik lagi! Naik lagi!” anak-anak muda di situ menjerit kepadanya.

Seronok Pak Pandir melihat waunya kian tinggi ke udara. Tambahan pula dengan sorak orang ramai yang menyaksikannya. Pak Pandir kian teruja. Dia mula jadi perhatian.

“Lagi Pak Pandir! Tinggi lagi! Tinggi lagi!!” sorak anak-anak muda itu.

Pak Pandir kian galak. Sengihnya sampai ke hujung telinga. Terasa dirinya seorang yang amat hebat apabila disorak begitu oleh orang sekeliling.

“Tinggi…tinggi lagi Pak Pandir! Kasi naik tinggi lagi!” jerit anak-anak muda itu sebelum ketawa mereka berderai.

Pak Pandir tersengih, semakin bersemangat kerana terasa dirinya kian hebat jadi tontonan. Tiba-tiba, tangannya terasa sesuatu. Pak Pandir terasa kain pelikatnya sudah habis dikilas, tangannya sudah menaik tinggi kain pelikatnya. Pak Pandir rasa ada sesuatu yang tak kena.

Pak Pandir lihat kainnya. Baru dia sedar, yang kian naik tinggi bukanlah wau, tapi kain pelikatnya sendiri sehingga ternampak &^%$#…

Terus Pak Pandir campak waunya, lintang pukang lari kerana berasa malu. Dan suara anak-anak muda itu tertawa masih terus kedengaran…

Yang tersurat : Anak-anak muda di atas yang menjadi tukang sorak mungkin adalah kita semua, manakala Pak Pandir pula ialah mereka yang merasakan dirinya hebat sehingga tanpa sedar telah mendedahkan kelemahan dirinya sendiri kerana tenggelam dalam sorak orang ramai yang menyangka sedang memujinya.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare