KIRA-kira 30 kilometer menghala ke utara Gwynedd, Wales, tersergam sebuah mahligai suram berusia lebih daripada 500 tahun yang dikelilingi landskap hijau dan berbukit bukau. Ia merupakan sebuah binaan kota lama era zaman Victoria yang telah menjadi mercu tanda negara itu sejak sekian lamanya.

Itulah istana Penrhyn, sebuah rumah agam yang meninggalkan pelbagai kisah dan kesan sejarah di United Kingdom. Cerita di sebaliknya bukan sekadar melambangkan tentang kehidupan dan kebudayaan golongan bangsawan Inggeris, tetapi ia juga mengisahkan tentang kegigihan serta perjuangan bangsa Norman yang menghuni benua Eropah sejak zaman pertengahan lagi.

Istana Penrhyn.

Namun, di sebalik sejarah perjuangan dan kegigihan itu, istana berkenaan turut menyimpan satu rahsia tersembunyi mengenai sebuah kisah cinta yang lama terpendam. Kisah cinta menyayat hati itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kalimah pendek yang ditoreh pada salah satu tingkap kaca di istana berkenaan.

Selama lebih satu abad kalimah tersebut hanya terbiar di situ. Tiada siapa peduli, tiada siapa yang menghiraukannya.

Untuk beberapa generasi para pekerja yang berkhidmat di istana Penrhyn langsung tidak mengetahui rahsia di sebalik kalimah berkenaan. Mereka tahu terdapat torehan ringkas pada salah satu jendela di menara istana itu, akan tetapi ia hanya dianggap sebagai satu kalimat biasa yang tidak memberi sebarang makna.

Sehinggalah pada suatu ketika sekitar penghujung abad ke-20, seorang ahli sejarah dari Itali, Resi Tomat telah ditugaskan untuk mengungkai misteri di sebalik kata-kata itu. Beliau perlu mencari maksud sebenar kalimah tersebut dan apa kaitannya dengan sejarah istana Penrhyn itu sendiri.

Kalimah berusia ratusan tahun yang dilakar pada salah satu tingkap di istana tersebut.

Berdasarkan pengalamannya sebagai ahli sejarah, Resi Tomat mendapati kalimah berkenaan telah ditulis dalam bahasa Latin. Ia merupakan ungkapan pendek berbunyi ‘essere amato amando’, yang membawa maksud ‘mencintai ketika dicintai’.

Pada peringkat awal, Resi sendiri tidak menganggap ia sesuatu yang istimewa. Kalimat itu pada hemat beliau mungkin sekadar satu ungkapan biasa yang tidak membawa sebarang makna.

Namun, kajian lanjut telah mengubah persepsi penyelidik itu. Resi kemudian tampil dengan penjelasan yang lebih konkrit, yang sedikit sebanyak telah mengejutkan banyak pihak dan ahli sejarah benua Eropah.

Berdasarkan corak tulisan tersebut, kata Resi, ia merupakan catatan yang telah ditinggalkan oleh seorang wanita. Berkemungkinan besar wanita itu ialah seorang gadis bangsawan bernama Alice Douglas-Pennant yang pernah mendiami mahligai itu di antara penghujung kurun ke-19 dan awal abad ke-20.

Alice Douglas Pennat.

Alice Douglas-Pennat atau lebih dikenali sebagai Lady Alice merupakan anak kepada Lord Penrhyn, seorang Ahli Parlimen Konservatif di wilayah Caernarvonshire pada ketika itu. Bapanya merupakan seorang yang terkenal sebagai penentang kesatuan pekerja di wilayah berkenaan, khususnya di kuari milik empayar Penrhyn.

Berdasarkan kepada catatan dan bukti lain yang ditemui, para penyelidik yakin bahawa puncak menara yang menjadi lokasi ungkapan tersebut ditemui merupakan bilik tidur Lady Alice.

Ungkapan itu dipercayai telah ditoreh oleh beliau sebagai dedikasi cinta terhadap kekasihnya yang merupakan seorang kakitangan di istana berkenaan. Berkemungkinan, lelaki tersebut ialah seorang tukang kebun yang berkhidmat di rumah agam milik keluarga bangsawan itu.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa hubungan cinta merpati dua sejoli itu telah mendapat tentangan daripada keluarga Penrhyn.

Demi menjaga status bangsawan dan nama baik keluarga, Lady Alice telah dikurung bagi mengelakkan hubungan cinta mereka berlarutan lebih jauh. Dipercayai, ketika itulah kalimah cinta tersebut telah ditoreh oleh Lady Alice.

Sama ada benar atau sebaliknya, kisah cinta ini mempunyai pengakhiran yang menyedihkan. Lady Alice telah menjadi artis budaya tidak lama selepas itu, dan beliau meninggal dunia di London pada tahun 1939 ketika usianya mencecah 76 tahun. Dia masih belum berkahwin semasa menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sehingga kini, kalimah cinta itu masih jelas terukir di tingkap istana berkenaan. Bagaimanapun, mahligai itu bukan lagi milik empayar Penrhyn, sebaliknya telah diambil alih oleh pihak kerajaan sejak tahun 1970-an setelah semua pewarisnya meninggal dunia.

Struktur bangunannya telah di baik pulih dan ia dibuka kepada pelancong untuk dilawati. Hanya kerana kalimah cinta itu, istana Penrhyn menjadi terkenal dan merupakan antara lokasi pelancongan bersejarah yang popular di United Kingdom.

Istana ini kini menjadi salah satu lokasi bersejarah tarikan pelancong.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare