DUN Melaka

ANALISIS

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.


Beliau berkata, Jemaah Menteri membincangkan isu PRN Melaka dalam mesyuarat kelmarin, namun tidak ada sebarang keputusan.

Penulis tidak ada masalah terhadap apa juga keputusan yang ditentukan oleh kerajaan mahupun oleh Sultan Nazrin kerana baginda pasti mempertimbangkan segala sudut tetapi isu PRN ini tidak sepatutnya sampai pada tahap itu jika kepemimpinan UMNO tidak tergopoh gapah membuat keputusan meminta Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

UMNO bertindak demikian melalui Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas empat ADUN termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan daripada beliau.

Bagaimanapun ketika kepemimpinan UMNO termasuk di peringkat pusat begit teruja untuk mengadakan PRN, mereka bagaimanapun mula tersedar bahawa ia boleh membawa malapetaka politik apabila majoriti rakyat Melaka menentangnya.

Maka pemimpin-pemimpin UMNO pun kelam kabut lah membuat ‘damage control’ dengan menganggap PRN tidak wajar dan tidak sesuai diadakan kerana bimbang ia akan menularkan kembali pandemik Covid-19. Pada masa sama beberapa pakar Perlembagaan dan kesihatan awam menyifatkan proklamasi darurat sebagai penyelesaian terbaik bagi mengelak PRN Melaka ketika negara masih berdepan wabak tersebut.

Hakikatnya isu PRN tidak sepatutnya berlaku jika UMNO memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membuktikan blok pembangkang itu mempunyai cukup majoriti untuk kembali berkuasa di negeri Hang Tuah tersebut.

Tetapi malangnya proses itu tidak berjalan, Kerajaan UMNO memohon pembubaran DUN dan ia diperkenankan oleh Mohd. Ali. Akibat kegelojohan UMNO tak pasal-pasal menyebabkan Yang Dipertua Negeri itu menjadi sasaran.

Pada Rabu lalu Majlis Presiden PH dalam kenyataan menyifatkan tindakan Mohd Ali dilihat telah melanggari duluan (precedent) yang berlaku di Melaka

Mereka berkata, Mohd Ali sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Malangnya tindakan beliau ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes (Datuk Seri) Nizar Jamaluddin lawan (Datuk Seri) Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” memetik kenyataan tersebut.

UMNO sepatutnya melindungi Mohd Ali dengan berhati-hati dalam tindakan mereka apabila berhadapan dengan krisis tersebut. Yang peliknya, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sendiri berkata, tidak mengapa hilang kerajaan negeri tetapi mahukan PRN supaya rakyat diberi peluang memilih kerajaan negeri.

Aneh, kenapa mahu menyusahkan rakyat akibat gejolak politik yang dicetuskan oleh UMNO? Agak melucukan apabila Ahmad Zahid menyifatkan propaganda mahu menyalahkan UMNO di sebalik apa yang berlaku di Melaka sebagai tidak rasional kerana wakil rakyat Bersatu dan Bebas turut terlibat. Tetapi Ahmad Zahid perlu mengakui bahawa pergolakan itu tercetus kerana masalah dalaman UMNO.

Apapun seperti mana kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ‘nasi sudah menjadi bubur’. Kini terserah kepada Sultan Nazrin untuk membuat keputusan selepas baginda mendapat pandangan semua pihak dan ia harus dihormati.

Bagaimanapun memetik laporan Berita Harian pada Jumaat lalu, keputusan membubarkan DUN adalah budi bicara Yang Dipertua Negeri di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka dan ia satu ketetapan muktamad.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata tidak ada apa-apa peruntukan yang menyediakan mekanisme rayuan atau penilaian semula, sama seperti amalan di peringkat Persekutuan.

Katanya, walaupun kedudukan Yang di-Pertuan Agong lebih tinggi dariada Yang Dipertua Negeri, bahkan pelantikannya atas kuasa budi bicara baginda, Perlembagaan Negeri Melaka atau Perlembagaan Persekutuan tidak mewujudkan peruntukan yang membolehkan Seri Paduka membatalkan apa-apa keputusan atau meminta Yang Dipertua Negeri membuat penilaian semula.

“Keputusan untuk membubarkan DUN adalah termasuk dalam budi bicara Yang Dipertua Negeri di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka.

“Konsep ini bersandarkan kepada prinsip dan amalan federalism yang memberikan kuasa khusus kepada negeri,” katanya kepada BH mengulas mengenai sama ada pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri Melaka boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Persoalannya tidakkah UMNO mengetahui peruntukan ini atau buat-buat tidak tahu kerana mahukan PRN dilaksanakan?

Tidak kira apapun keputusannya yang pasti UMNO perlu menerima hakikat bahawa politik Melaka bergolak kerana parti itu….jangan salahkan orang lain!