GAMBAR: Abd Razak Aid

LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangka jumlah trafik akan meningkat kepada empat juta kenderaan sehari terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul, Selasa depan selaras kebenaran pergerakan rentas negeri.

LLM dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan kepada empat juta itu berbanding 3.5 juta kenderaan sehari ketika ini.

Bagaimanapun, LLM telah bersiap sedia sepenuhnya dan telah mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya.

Sehubungan itu, LLM telah pun mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong.

“Ia bagi memastikan kelancaran trafik terutama di Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kajang Setemban semasa cuti hujung minggu atau cuti umum bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

“Persediaan rapi juga perlu dilakukan di plaza tol bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa melakukan transaksi di plaza tol,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan tunai janji benarkan rentas negeri/negara demi Keluarga Malaysia

Mengulas lanjut, LLM memaklumkan telah mengarahkan syarikat pengendali lebuh raya melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik dan teratur.

Kata LLM, ia juga bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan virus COVID-19.

“LLM juga ingin menasihatkan pengguna agar memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan memastikan baki kad touch and go adalah mencukupi.

“Selain itu, LLM turut menasihatkan pengguna merancang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan di samping mematuhi SOP ditetapkan iaitu pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, elakkan 3C (close contact, crowded area dan close conversation), penggunaan surau dan tandas serta merekodkan pergerakan menerusi aplikasi MySejahtera terutama apabila berada di R&R atau hentian sebelah,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram