MEREKA ditahan hasil maklumat orang ramai. - Foto GAMBAR HIASAN

SEORANG pelakon berusia 29 tahun ditahan bersama-sama seorang pengarah dan penolong pengarah kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, pagi semalam.

Pengarah dan penolong pengarah itu dikatakan berusia 49 dan 47 tahun.

Selepas ditahan polis, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati pelakon dan pengarah itu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol.

Manakala, penolong pengarah yang ditahan tersebut pula didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine .

Difahamkan, ketika serbuan dibuat, kesemua mereka berada di dalam bilik yang berasingan.

Serbuan pada pukul 7.15 pagi tersebut dilakukan oleh anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar serta dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar.

Ketiga-ketiga mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi pagi ini mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam. – UtusanTV