PADA 27 Mei 1974, pekan Erdington di pinggir Birmingham, England, dikejutkan dengan penemuan mayat seorang gadis berusia 20 tahun berdekatan Chester Road.

Gadis itu dikenali sebagai Barbara Forrest, seorang jururawat di Rumah Kanak-Kanak Pype Hayes. Mayatnya ditemui dalam sebuah parit dan didapati telah dirogol dan dicekik hingga mati. Mayatnya hanya ditemui beberapa hari selepas kematiannya, tidak jauh dari lokasi tempat dia bekerja.

Barbara Forrest.

Siasatan mendapati, petang pada hari kematiannya, Barbara dikatakan berjumpa dengan teman lelakinya bernama Simon Belcher. Mereka bertemu di bar dan Belcher memberitahu polis dia menemani kekasihnya itu ke perhentian bas lebih kurang jam 1.00 pagi. Itulah kali terakhir dia melihat kelibat Barbara.

Pihak polis terus menyiasat kes ini yang akhirnya membawa kepada penahanan seorang lelaki dipanggil Thornton. Nama sebenarnya ialah Michael Ian Thornton. Lelaki ini tinggal berdekatan Chester Road di mana mayat Barbara ditemui. Malah, Thornton juga adalah rakan sekerja Barbara.

Lelaki itu ditahan apabila polis menemui kesan darah pada seluarnya, bahkan ibunya turut memberi alibi palsu untuk melindungi anaknya. Thornton didakwa atas pembunuhan Barbara. Namun, dia dibebaskan apabila pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti kukuh.

Barbara Forrest dan suspek Michael Thornton yang dibebaskan dari tuduhan membunuh.

Pembunuhan Barbara secara tidak langsung mengungkap satu peristiwa hitam yang berlaku 157 tahun yang lalu yang turut berlaku di bandar yang sama – Erdington.

Satu ketika dahulu, pekan kecil ini pernah menjadi saksi sebuah tragedi yang rentetannya seakan serupa seperti yang menimpa Barbara.

Pembunuhan 27 Mei 1817

Pukul 6.30 pagi pada tarikh 27 Mei 1817, seorang buruh dalam perjalanan ke tempat kerjanya menemui pakaian wanita berlumuran darah berhampiran Penn’s Mill.

Susulan itu, mayat seorang gadis ditemui dalam sebuah lubang yang dipenuhi air. Mayat itu dikenal pasti sebagai Mary Ashford, berusia 20 tahun. Selain kesan-kesan lebam pada mayat, pemeriksaan mendapati Mary telah diperkosa sebelum kematiannya.

Mary Ashford.

Siasatan polis mendapati, sehari sebelum mayatnya ditemui, Mary pergi ke Birmingham untuk menjual hasil tenusu di pasar. Itu adalah rutin pekerjaan Mary.

Kemudian, dia mengunjungi tempat tinggal rakannya bernama Hannah untuk menukar baju bagi menghadiri majlis tari-menari pada malam itu. Mary dan Hannah pergi bersama-sama ke majlis tersebut.

Dalam majlis itu tari-menari itu, Mary ditemani seorang lelaki bernama Abraham Thornton. Tengah malam usai majlis, mereka pulang. Mary meneruskan perjalanan ditemani Thornton, manakala rakannya Hannah pulang ke rumah. Lebih kurang hampir jam 4.00 pagi, Mary muncul di rumah Hannah untuk menyalin pakaiannya.

Ketika itu, Mary dengan ceria menceritakan dia sempat menghabiskan waktu berdua-duaan dengan Thornton kepada Hannah. Selepas itu, Mary keluar untuk pulang ke rumah. Namun, beberapa jam selepas itu mayatnya ditemui.   

Dikatakan kali terakhir Mary dilihat masih hidup adalah pada jam 4.15 pagi berdasarkan keterangan saksi.

Siasatan membawa kepada penahanan Abraham Thornton sebagai suspek utama. Thornton memberitahu polis, dia menghabiskan waktu bersama dengan Mary sehingga hampir jam 4.00 pagi sebelum menemani gadis itu hingga sampai ke rumah Hannah. Itulah kali terakhir dia melihat kelibat Mary sebelum dia bergerak pulang ke rumah.

Thornton juga mengaku membuat hubungan seks dengan Mary atas dasar suka sama suka, dan menafikan dia merogol gadis tersebut jauh sekali membunuhnya.   

Thornton tetap didakwa dan dibicarakan. Pun begitu, saksi-saksi yang memberi keterangan lebih menyebelahi Thornton dan kerana kekurangan bukti kukuh, lelaki itu dibebaskan.

Mary Ashford dan saspek yang dituduh membunuhnya, Abraham Thornton

Sama ada Barbara mahupun Mary, kedua-dua gadis ini bernasib malang apabila dibunuh. Anehnya, tragedi yang menimpa kedua-dua gadis ini walaupun berjarak 157 tahun, namun terlalu banyak persamaannya.

Kedua-dua kes berlaku pada hari Isnin bertarikh 26 Mei. Mary dan Barbara mati pada usia sama, 20 tahun, dan belum berkahwin. Mayat kedua-duanya didapati dirogol. Lokasi antara mayat Barbara dan Mary ditemui pula hanya dalam lingkungan 274 meter.

Mary Ashford dan Barbara Forest, kedua-duanya berasal dari Birmingham, England dan mempunyai tarikh lahir yang sama.

Pada petang sebelum tragedi menimpa mereka, kedua-dua gadis ini pergi ke rumah rakan masing-masing untuk menukar baju bagi menghadiri majlis tari-menari sempena sambutan perayaan Whit.

Kedua gadis mangsa pembunuhan ini mempunyai banyak persamaan.

Dalam kes Mary, suspek ditahan bernama Abraham Thornton. Manakala dalam kes Barbara, suspek bernama Michael Thornton. Kedua-dua suspek mempunyai nama yang sama iaitu ‘Thornton’ dan kedua-dua suspek ini juga akhirnya dibebaskan dari pendakwaan.

Lebih aneh, beberapa hari sebelum menemui ajal, kedua-dua mangsa seakan meramalkan nasib mereka. Seminggu sebelum dibunuh, Mary memberitahu rakannya dia seakan berasa tidak sedap hati dengan minggu yang akan datang. Manakala Barbara pula beberapa hari sebelum dibunuh memberitahu rakan sekerjanya, “Ini bulan malang untuk saya. Saya cuma tahu, jangan tanya kenapa.”

Selepas juri menetapkan suspek tidak bersalah, ada anggota keluarga yang mempersoalkan keputusan itu. Dalam kes Mary, abangnya William enggan menerima keputusan mahkamah dan mengemukakan rayuan untuk membuka semula perbicaraan. Manakala dalam kes Barbara, kakaknya Erika juga enggan menerima keputusan juri dan memohon agar kes adiknya dibuka semula.

Sama ada kebetulan atau pun tidak, persamaan antara kes Mary dan Barbara masih menimbulkan tanda tanya. Dan sehingga ke hari ini, tragedi yang digelar sebagai ‘pembunuhan berkembar Erdington’ yang berjarak 157 tahun itu kekal misteri tanpa diketahui pelakunya.

Siapa yang bunuh Mary dan Barbara?

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare