PENYANYI Yonnyboii yang sebelum ini pernah berdepan dengan masalah sindrom kurang daya tumpuan hiperaktif (ADHD) akui pandemik Covid-19 banyak mengajar dirinya untuk mengawal perasaan.

Apatah lagi, anak seni antara yang turut terjejas ekoran tidak dapat keluar bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa kerajaan.

Namun, Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin,23, sedar ramai yang bergelut meneruskan kelangsungan hidup, maka dia juga harus kental demi mencari sesuap nasi buat keluarga.

“Saya cuba mengimbangi hal fizikal dan mental sebaik mungkin. Ada ketikanya rasa lemah semangat itu datang menerpa tetapi saya cuba untuk tidak terlalu larut dengannya.

“Bila mula terasa ‘down’, macam-macam dalam fikiran. Termasuk fikir tiada tawaran kerja, bagaimana nak ‘survive’? Namun saya percaya rezeki itu ada dengan izin-Nya.

“Saya pun menyara keluarga. Adik nombor dua pun tinggal dengan saya manakala tiga lagi adik di kampung bersama keluarga,” katanya.

Yonnyboii simpan impian ingin buat persembahan di konsert berskala besar

Dalam pada itu, Yonnyboii yang hingga kini masih aktif mencipta lagu untuk penyanyi lain, rupa-rupanya belum berpeluang merealisasikan hasrat muncul dengan sebuah konsert berskala besar.

“Kerinduan nak buat persembahan dengan khayalak ramai hingga kini terus membuak buak. Tapi semua itu masih samar dengan keadaan kes harian Covid-19 yang turun naik.

“Jadi saya kini membiasakan untuk merapatkan diri dengan komuniti atau peminat muzik dengan menghasilkan kandungan kreatif dalam laman sosial.

“Saya kena anggap rakam persembahan di rumah atau secara virtual seperti membuat persembahan pentas. Begitu juga dengan impian mengadakan konsert yang belum menjadi kenyataan.

“Besar harapan saya agar keinginan itu direalisasikan. Malah saya membayangkan konsert penuh intim itu ‘diiringi’ dengan peminat yang sama-sama menyanyi setiap bait lirik lagu Yonnyboii,” katanya.

Bercakap tentang perkembangan terbaharu, selepas tampil dengan album mini atau EP berjudul Yonny, hujung tahun lalu, pelantun lagu Sakit itu melancarkan album penuh berjudul YONNY (DELUXE VERSION).

Album yang menghimpunkan sembilan karya dari EP terdahulu selain dua lagu baharu sebagai trek bonus iaitu Tak Sangka dan Angel dilancarkan pada 8 Oktober baru-baru ini.

Bagi lagu Tak Sangka, Yonnyboii tidak keseorangan, sebaliknya berkolaborasi dengan ZynAkal dan Asyraf Nasir sebagai komposer dan penyanyi.

Diaju mengenai keberanian tampil dengan album di era pandemik Covid-19, anak sulung daripada lima beradik itu tidak melihat ia sebagai sesuatu yang pelik.

“Tak sangka sebenarnya dari album EP ke penuh ini, saya melancarkan di era pandemik. Bagi saya ia bukan satu kesalahan mandatori.

“Malah di saat ini muzik kekal jadi terapi buat kita semua. Ramai yang terus mendengar muzik, selain menonton pelbagai medium hiburan.

“Saya tak kisah melawan arus. Jika ada artis yang berkira-kira nak lancarkan album, kenapa tidak saya melakukannya? Saya selesa mencabar diri melawan arus kebiasaan.

“Selama ini pun saya sering dilihat unik. Sekurang-kurangnya saya ada kenangan melancarkan album pada waktu pandemik,” ujarnya.

Yonnyboii percaya, biarpun perlu menunggu tiga tahun untuk muncul dengan album penuh, ia tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Saya percaya penantian itu sangat berbaloi. Tak perlu tergesa-gesa. Andai tiba waktunya, pasti kesempatan itu akan hadir.

“Jujurnya, sejak awal pembabitan dalam industri seni lagi, saya sudah mendambakan album penuh. Tapi saya ikut saja peredaran masa dan kesesuaian yang mana single demi single dilancarkan. Itu juga ‘trend’ pemasaran yang diguna pakai syarikat rakaman,” katanya.

Kata artis kelahiran Perak itu, dua buah lagu baharu terbabit disiapkan pada awal tahun lalu dan Ogos lalu.

“Single Tak Sangka sebenarnya idea saya, ZynAkal dan Asyraf sebelum pandemik datang. Ilham untuk lagu Angel pula terlintas sewaktu saya tiba-tiba membayangkan seorang bidadari. Ikutkan saya ada lagi banyak karya yang terperam. Hanya menunggu masa sesuai untuk dikongsi saja. Macam tahun lalu, saya boleh kata agak aktif melancarkan single demi single.”

“Tapi tahun ini, langkah sama tak boleh diteruskan. Pandemik ini ternyata memberi kekangan dan ia di luar kawalan. Ikutkan nak lancarkan sesuatu yang lagi besar tahun ini tapi nampak gayanya kena simpan tahun hadapan,” kongsinya.