beri syafaat kepada keluarga

Terdapat sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan setiap penghafaz al-Quran boleh memberi syafaat (pertolongan) di hari kiamat kepada 10 ahli keluarga terdekat.

Lafaz hadis yang dijadikan sandaran itu diambil daripada Ali Bin Abi Thalib yang berkata, Nabi pernah bersabda,

“Barang siapa membaca al-Quran dan menghafalnya, dan menghalalkan apa-apa yang halal dalamnya dan mengharamkan apa-apa yang haram dalamnya akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah. Dan Allah akan menerima syafaatnya yang diberi kepada sepuluh orang daripada ahli rumahnya yang kesemua mereka telah wajib masuk neraka.”

Persoalannya, adakah hadis tersebut sahih dan setiap Muslim boleh beramal dengannya?

Tidak kurang juga yang bertanya, adakah syafaat yang  ‘dianugerahkan’ kepada para hufaz dapat menyelamatkan ibu bapa serta ahli keluarga  mereka daripada api neraka sekalipun tidak mengamalkan  tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd Khafidz Soroni menjelaskan, status hadis tersebut adalah hadis dhaif.

Namun begitu, dalam bab memberi galakan, motivasi dan rangsangan kepada Muslim agar melakukan kebaikan,  ia boleh digunakan.  Hal sedemikian turut  disenaraikan di dalam fadhilat amal yang dikumpulkan oleh ulama berkaitan kelebihan seseorang yang beramal dengan sesuatu kebaikan seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul.

Galakan itu sebagai anjakan kepada ibu bapa supaya dalam keluarga setidak-tidaknya ada seorang yang hafiz al-Quran. Jadi hadis itu dibawa dan diberi sebagai motivasi kepada seluruh ibu bapa Muslim terutamanya di negara kita.

Hadis tentang setiap penghafaz al-Quran boleh memberi syafaat (pertolongan) di hari kiamat kepada 10 ahli keluarga terdekat adalah hadis dhaif.

Oleh hal demikian, jika terdapat seorang yang menghafaz al-Quran 30 juzuk, maka ahli keluarga dibolehkan untuk berharap agar suatu hari nanti anak tersebut akan memberi pertolongan ketika semua manusia dihisab kelak.

Namun begitu, tegas Mohd Khafidz, ada hadis yang sahih dan jelas tentang mereka yang membaca dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam al-Quran. 

Antaranya, Rasulullah s.a.w. pernah menyebut,

“Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung dalamnya, maka kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkanlah bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan al-Quran.” HR Ahmad dan Abu Daud.

Ternyata, membaca al-Quran apatah lagi menghafaznya diberikan kemuliaan yang cukup tinggi di sisi Allah.  Namun peringatan buat para penceramah, ustaz mahupun ustazah hatta para agamawan, sebaiknya apabila hadis tersebut dibawakan sebagai pencetus semangat, kedudukan atau statusnya perlu dijelaskan.    

Mereka perlu menjelaskan status hadis tersebut kerana hadis daif boleh diamalkan dalam perkara-perkara memberi galakan kebaikan tetapi tidak boleh diyakini dalam penetapan hukum.    

Didikan Agama Satu Kewajipan

Ujar Mohd Khafidz lagi, melahirkan anak dan mendidiknya menjadikan seorang yang soleh, adalah satu kewajipan. Ia bukanlah satu pilihan. Pun begitu menjadikan anak-anak sebagai hafiz digalakkan kerana ia boleh menyumbang kepada pembentukan akhlak yang baik.

Hal seumpama ini diingatkan melalui firman Allah yang bermaksud,

“Hai orang-orang beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah (solat). Barang siapa berbuat demikian itu, maka ia orang yang rugi.”  al-Munafiqun: 9

Seperti yang dijelaskan, apabila ibu bapa meletakkan pilihan dan bukannya sebagai kewajipan dalam menentukan pendidikan anak-anak, maka mereka akan membeza-bezakan anak tersebut dengan ketara sekali.

Contohnya anak yang kurang berjaya dalam akademik, dihantar ke sekolah tahfiz atau pondok, tetapi yang cemerlang dalam akademik, dihantar ke sekolah berasrama penuh supaya mendapat pekerjaan yang baik. Itulah pemikiran ibu bapa yang salah berdasarkan trend masa kini.

Sepatutnya mereka menerapkan setiap anak memiliki ilmu agama yang mendalam. Jika pergi ke sekolah berasrama penuh sekalipun, mereka perlu memilih sekolah berasrama penuh yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam akademik.

Setiap ibu bapa wajib memberikan pendidikan agama kepada anak mereka

Jika kurang penerapan tersebut, mereka boleh juga menghantar anaknya ke sekolah tahfiz ketika cuti sekolah agar anak-anaknya dapat mendalami ilmu akhirat dan dunia secara seimbang.

Begitu juga dengan anak-anak yang kurang cemerlang dalam akademik, sepatutnya tidak menyatakan sebegitu di hadapan anak-anak, kecil hati mereka.

Sepatutnya ibu bapa mengambil inisiatif dengan mempergiatkan tuisyen atau memantau dengan lebih hebat lagi pendidikan anak-anak, cari di mana silapnya sehingga anak-anak menjadi seperti itu.

Jika tidak berkesan juga, maklumkan sebaiknya kepada anak tersebut akan hasrat ibu bapa untuk melihat anak itu berjaya, dan fahamkan sebaiknya kejayaan yang sebenar adalah kejayaan di sana kelak, bukan di dunia yang sementara ini. Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram