KALAU sebut ‘hantu’ dalam kalangan masyarakat Melayu, yang popular adalah nama-nama seperti pocong, puntianak, toyol, langsuir dan sebagainya.

Pernahkah anda mendengar nama-nama hantu dalam kalangan masyarakat Jepun? Mari kami perkenalkan enam hantu legenda popular di negara matahari terbit itu.

TEKE-TEKE

‘Teke-teke’ bermaksud bunyi yang dihasilkan oleh siku hantu ini sewaktu ia bergerak.

Menurut kisah orang-orang tua, seorang gadis sekolah telah terjatuh di landasan kereta api. Dia di gilis hingga badannya terputus dua.

Hantu gadis ini yang dikaitkan sebagai hantu teke-teke dan  sering merayau mencari mangsa. Kononnya, mangsa hantu ini akan dikerat dua dengan tujuan supaya dia tidak lagi keseorangan.

Kisah hantu ini yang sering menjadi buah mulut penduduk apabila seorang pelajar lelaki sedang berjalan pulang ke rumahnya sewaktu dia ternampak seorang gadis sedang berdiri di belakang tingkap sebuah sekolah.

Pelajar lelaki itu tertanya-tanya apa yang dilakukan si gadis dalam sekolah yang dikhususkan hanya untuk pelajar lelaki. Belum sempat bertanya, si gadis tadi tiba-tiba terbang daripada tingkap menuju ke arahnya dan memotong badannya kepada dua bahagian.

AKA MANTO

Seperti adegan yang sering ditayangkan dalam filem-filem seram Jepun, tandas sekolah dianggap sebagai tempat yang menakutkan para pelajar.

Ini kerana cerita yang mengatakan tandas sekolah telah dihantui oleh sesuatu yang misteri.

Aka Manto ialah hantu yang menghuni kubikel tandas terakhir di setiap tandas sekolah.

Kononnya, apabila mangsa menggunakan tandas tersebut, akan ada suara asing yang bertanyakan soalan sama ada mangsa mahukan kertas merah atau kertas biru.

Jika mangsa mengatakan merah, dia akan disiat sehingga seluruh pakaiannya berlumuran darah.

Jika menjawab biru, dia akan dicekik sehingga mukanya bertukar warna kebiruan. Jika mangsa cuba memberi jawapan yang lain daripada apa yang ditanya oleh Aka Manto, dia akan dibawa ke alam lain dan tidak akan dijumpai sampai bila-bila.

Menurut kisah, jawapan yang sepatutnya diberikan kepada Aka Manto ialah ‘tak mahu kertas’ dan Aka Manto akan meninggalkan anda sendirian.

HITOBASHIRA

Hitobashira membawa maksud ‘tiang manusia’ dan terkenal dalam budaya Jepun. Difahamkan sewaktu zaman kuno di Jepun, mereka melakukan upacara korban manusia setiap kali ingin membina bangunan besar seperti jambatan, istana dan sebagainya.

Upacara ini sebagai persembahan kepada tuhan-tuhan dan dipercayai dapat mengelakkan bangunan yang dibina daripada ditimpa bencana.

Antara Hitobashira yang terkenal di Jepun ialah Istana Matsue yang terletak dalam wilayah Shimane.

Istana ini dibina sekitar kurun ke-17 namun dipercayai mengalami beberapa masalah antaranya dinding yang runtuh secara tiba-tiba. Oleh sebab itu, korban manusia diperlukan.

Sewaktu pembinaan istana Matsue, satu festival sedang berlangsung. Askar-askar telah bertindak menyerang dan menangkap penari yang paling cantik ketika itu.

Setelah dibunuh, mayat gadis itu ditanam bersama binaan dinding istana. Selepas daripada itu, kerja-kerja pembinaan dikatakan berjalan  lancar tanpa gangguan.

Tetapi setelah pembinaan selesai, kejadian misteri mulai melanda istana ini. Setiap kali perayaan berlangsung dan ada gadis menari, istana ini dipercayai akan bergegar seperti dilanda gempa bumi. Sejak hari itu, diharamkan sebarang pesta tari-menari daripada berlangsung di jalan istana Matsue.

NERAKA TOMINO

Terdapat satu cerita dongeng Jepun berkaitan sebuah sajak bertajuk ‘Neraka Tomino’. Ia menceritakan tentang Tomino yang dikatakan mati dan telah jatuh ke neraka.

Menurut kisah orang-orang tua, sajak ini hanya boleh dibaca dalam hati. Sesiapa yang membacanya dengan kuat dikatakan akan menemui maut.

Sajak ini asalnya ditulis oleh Yomota Inuhiko dalam sebuah buku berjudul ‘The heart is like a rolling Stone’. Tidak diketahui bagaimana khabar angin mengenai sajak ini bermula namun terdapat amaran yang ditulis bersama-sama sajak ini.

Pernah dikatakan seorang lelaki menelefon rancangan radio dan bertindak membaca sajak ini dengan kuat. Baru separuh pembacaan, dia tiba-tiba berasa kurang sihat lantas berhenti dan bertindak membuang buku tersebut.

Dua hari kemudian, lelaki itu dilaporkan telah mencederakan dirinya sendiri hingga menerima tujuh jahitan. Kebetulan? Atau kuasa sajak berhantu itu? Sehingga hari ini tiada dapat mengesahkan sejauh mana sajak itu berhantu, namun tiada sesiapa juga yang berani membacanya dengan kuat.

GOZU

Gozu bermaksud kepala lembu. Ia berkaitan kisah dongeng yang diceritakan turun temurun. Cerita ini dikatakan terlalu seram sehingga sesiapa yang menceritakan kisah ini kepada orang lain akan menemui nasib malang.

Ada yang mendakwa, mereka yang mendengar kisah ini akan menggeletar seluruh badan selama beberapa hari sebelum menemui ajal kerana rasa takut yang keterlaluan.

Dikatakan pernah terjadi satu kes di mana sekumpulan pelajar yang dalam perjalanan pulang daripada lawatan. Guru mereka ingin menghiburkan para pelajar mula bercerita mengenai kisah-kisah dongeng. Semuanya baik-baik sahaja sehinggalah si guru tadi mula bercerita mengenai dongeng Gozu kepada murid-muridnya.

Keadaan mulai tegang, si guru terlampau menghayati kisah hantu tersebut sehingga menakutkan kesemua anak muridnya.  Seorang demi seorang murid di dalam bas tersebut mulai menjerit meminta si guru untuk berhenti bercerita tetapi si guru seperti dirasuk, masih terus bercerita.

Apabila bas tersebut tidak tiba di tempat yang mereka tuju, pihak polis melancarkan pencarian dan menjumpai bas itu terjunam dalam sebuah parit. Tambah menghairankan apabila kesemua penumpang termasuk pemandu bas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mulut berbuih. Mujurlah kesemua mereka berjaya dipulihkan tetapi tiada seorang pun dapat mengingati mengapa dan bagaimana mereka boleh berada di dalam parit tersebut.

KUSHISAKE ONNA

Menurut legenda, Kushisake Onna yang bermaksud ‘perempuan mulut terbelah’ merupakan hantu yang menjelma sebagai wanita tinggi memakai penutup mulut.

Kisah ini bermula pada tahun 1979, apabila penduduk setempat mula mengadu melihat bayangan Kushisake Onna. Ia akan menahan mangsanya yang kebanyakannya merupakan kanak-kanak kemudian bertanyakan soalan ‘cantik tak saya?’ Itu merupakan soalan keramat Kushisake Onna.

Jika kanak-kanak tadi menjawab ‘tidak’ , dia akan dibunuh dengan sepasang gunting yang dibawa oleh wanita itu. jika jawapan ‘ya’, wanita itu akan mencabut penutup mulut lalu mempamerkan mulutnya yang terbelah daripada telinga kiri hingga ke telinga kanan. Dia akan bertanya lagi ‘macam mana sekarang?’

Jika mangsanya menjawab ‘tidak’, dia akan dibunuh. Jika cuba menipu dengan memberi ‘ya’ sebagai jawapan, mulut mangsa akan dibelah seperti mulut wanita tersebut. Mangsa-mangsa Kushisake Onna tidak berpeluang melarikan diri kerana hantu itu akan terus menjelma di hadapan mangsa.

Pelbagai petua diberikan oleh orang terdahulu tentang bagaimana untuk menyelamatkan diri daripada Kushisake Onna. Antaranya dengan memberikan jawapan yang lain daripada yang ditanya seperti ‘awak biasa-biasa sahaja’.

Dikatakan cara ini dapat membuatkan Kushisake Onna keliru dan memberi peluang untuk mangsa melarikan diri. Satu cara lagi ialah dengan menjawab soalan si Kushisake dengan soalan yang sama. Ini dikatakan dapat membuatkan hantu itu keliru lantas meninggalkan mangsa.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare