Sebanyak lima permohonan cerai diterima daripada pasangan Islam dalam tempoh satu jam setiap hari di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. GAMBAR HIASAN

SEBANYAK lima permohonan cerai diterima daripada pasangan Islam dalam tempoh satu jam setiap hari di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, terdapat 21 kes penceraian berlaku melibatkan pasangan Islam setiap hari manakala bukan Islam, 18 kes sehari.

“Sedang kita bercakap dalam dewan (Rakyat) ini, ada orang yang memohon cerai, maksudnya begitulah dia punya konteks dan suasana. Kita pun risau.

“Sebab itulah saya percaya walaupun bukan dalam bidang kuasa atau konteks Parlimen dan Undang-Undang, banyak sistem sokongan (diberikan) yang bukan sahaja berada di bawah kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang bertanyakan kadar kes perceraian berlaku sejak Mac 2020 hingga kini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati memberitahu, sebanyak 66,440 kes permohonan cerai difailkan di mahkamah syariah seluruh negara bermula awal pandemik Covid-19 iaitu Mac tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, Selangor merekodkan daftar kes permohonan cerai tertinggi iaitu sebanyak 12,479 kes, diikuti Johor 7,558 kes serta Kedah pula 5,985 kes.

“Kelantan juga merupkan negeri tertinggi permohonan cerai iaitu 5,982 kes, Perak (5,921), Terengganu (5,098), Pahang (5,058), Sabah (4,010), Wilayah Persekutuan (3,854) dan Negeri Sembilan (3,473).

“Selaon itu, sebanyak 2,978 kes penceraian difailkan di Pulau Pinang, Melaka (2,402), Perlis (1,081), dan Sarawak pula 561 kes.

Bagaimanapun Mas Ermieyati menjelaskan, statistik daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia itu hanya menunjukkan bilangan kes permohonan cerai yang difailkan, sekali gus tidak bermakna kesemua permohonan kes tersebut diluluskan dan berakhir dengan perceraian.

Pada masa sama katanya, pendaftaran kes cerai bagi masyarakat Islam adalah di dalam kawalan dan bidang kuasa Jabatan Agama Islam (negeri).

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, jumlah kes perceraian bagi golongan bukan Islam di seluruh negara yang difailkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 10,346 kes.

“Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,893 kes dan Perak sebanyak 1,209 kes,” tambahnya.