SEKIRANYA anda adalah peminat tegar kucing, pernahkah anda menonton kartun atau filem Garffield?

Karya seni yang dicetuskan hasil garapan komik Jim Davis ini menggambarkan Garffield, seekor kucing yang pemalas tetapi sangat mementingkan kekemasan.

Watak kartun dan animasi Garfiled yang popular di sleuruh dunia.

Filem arahan Peter Hewit ini menjadi popular kerana watak Garfield, kucing yang memiliki saiz yang besar dan sangat comel itu. Tahukah anda, kucing seperti Garfield itu memang wujud di dunia nyata.

Maine Coon, adalah salah satu ras kucing yang terbentuk secara alamiah. Sesuai namanya, ras ini berasal dari daerah Maine, Amerika Syarikat. Kucing ini merupakan baka kucing peliharaan terbesar di dunia.

Maine Coon, baka kucing peliharaan terbesar di dunia.

Berbagai mitos dan lagenda dikaitkan berhubung dengan asal-usul kucing ini. Meskipun secara biologi tidak mungkin terjadi, ramai yang percaya bahawa Maine Coon lahir daripada kacukan kucing liar dengan kucing daripada keluarga rakun.

Tidak dapat dipastikan dari mana asal-usul sebenar kucing baka Maine Coon ini. Apa yang diketahui, kucing ini adalah satu-satunya breed jenis long-haired yang hidup di utara Amerika secara aktif. Kucing ini dikenali di Maine dan disayangi kerana kebolehannya untuk mengawal populasi tikus.

Sesetengah kepercayaan mengatakan kucing Maine Coon adalah kacukan kucing liar dan rakun.

Maine Coon dikenali kerana saiznya yang besar, berperwatakan santai dan agak kasar. Sifat istimewa kucing ini ‘mereka’ dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam cuaca yang sejuk berbanding kucing biasa.

Kucing unik ini juga mempunyai susuk tubuh bersegi empat dan panjang, tulangnya besar dan kelihatan tegap umpama haiwan pemburu. Ia turut memiliki sepasang mata oval yang besar dan ekor yang panjang beralun.

Cosie, merupakan spesies pertama daripada Maine Coon berwarna ‘brown tabby’ yang memenangi pertandingan kucing di Madison Square Garden pada 1895. Namun, populariti haiwan ini menurun pada era 1900 apabila dikalahkan oleh baka kucing Parsi.

Lihatlah saiz kucing Maine Coon ini.

Atas dasar cinta dan minat, pada 1968 enam orang pengemar Maine Coon mula bergabung dan membentuk ‘Maine Coon Breeders and Fancies Association (MCBFA)’ untuk melindungi dan memelihara spesies kucing istimewa ini.

Hasilnya pada tahun 1980, Maine Coon telah diakui oleh semua organisasi kucing sebagai satu spesies haiwan yang memiliki ciri dan piawaian tersendiri.

Semua anggota tubuhnya merupakan hasil daripada fungsi penyesuaian terhadap iklim dan cuaca yang melampau. Bulu yang berkilat, tebal dan ‘anti-air’ serta mempunyai bulu tebal di bahagian leher, perut dan kaki yang berfungsi melindungi tubuhnya daripada salji dan suhu sejuk.

Bulunya yang tebal mempunyai fungsi untuk melindungi tubuh dari suhu sejuk.

Kucing jantan dewasa biasanya mempunyai berat badan antara 6 hingga 9 kilogram dengan panjang badan boleh mencecah satu meter. Manakala kucing betina pula lebih kecil dengan beratnya sekitar 4 hingga 6 kilogram. Dengan tambahan bulu musim sejuk yang mampu mencapai panjang sehingga 7 sentimeter, Maine Coon kelihatan sangat besar bagaikan kucing gergasi.

Maine Coon adalah kucing yang sangat dekat dengan manusia, tidak sepenuhnya bebas tetapi sering mencari perhatian tuannya. Dibandingkan dengan kucing Parsi yang lebih suka tidur, Maine Coon ini lebih pula aktif dan suka berada hampir dengan tuannya.

Kucing ini sentiasa diminati kerana kecantikan dan ciri-ciri nyatanya seperti ‘coat’ yang panjang selembut sutera namun kelihatan kasar. Bulunya lebih pendek di bahagian bahu dan panjang pada perut dan ekor. Bulunya kalis air dan mudah disikat.

Satu lagi ciri yang sangat menarik haiwan ini adalah ia begitu sukakan air. Bukan suatu hal yang mengejutkan jika anda melihat mereka berendam bersama-sama tuannya di dalam tab mandi.

Maine Coon boleh dijumpai dalam beberapa warna dan corak termasuk solid, tabby, bicolor, tortoiseshells, tabby-tortoise, smoke dan shaded. Paling umum dan menjadi pilihan adalah warna brown-classic-tabby. Matanya besar berbentuk oval dan warnanya berbeza sama ada hijau, keemasan atau biru.

Pada tahun 2010, Guiness World Record telah menobatkan Stewie sebagai kucing terpanjang di dunia dengan ukuran 4 kaki atau 123 sentimeter dengan berat sekitar 15 kilogram.

Kucing Maine Coon yang dibeli pada tahun 2005 oleh pasangan Robin Hendrickson dan Erik Brandsness sangat disenangi kerana sifatnya yang pandai menangkap tikus serta turut bergaul dengan kucing daripada spesies lain. Namun pada Februari 2013, Stewie telah meninggal dunia kerana menghidap kanser.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare