PAKATAN Harapan (PH) menolak penamaan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selaku Ketua Menteri bagi kerajaan caretaker Melaka kerana telah jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum DUN dibubarkan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan menegaskan, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan blok majoriti diketuai Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Pada masa sama, menurut Majlis Presiden PH, perbincangan itu juga perlu melibatkan blok bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan blok minoriti diketuai Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

“Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahu pun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri.

“PH mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang keempat penularan wabak COVID-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.

Baca artikel berkaitan: MT UMNO Khamis ini bincang kemelut politik Melaka – Ahmad Maslan

“Oleh itu perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk kerajaan caretaker diwakili golongan majoriti ADUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kamel dalam kenyataan semalam memaklumkan Sulaiman akan mengetuai kerajaan caretaker Melaka dan dibantu oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedia ada.

Menurut Kamel, Ahli MMKN yang terlibat akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan.

Pembentukan kerajaan sementara itu adalah susulan pembubaran DUN ke-14 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada 4 Oktober lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram