Kenderaan semakin bertambah menuju keluar dan masuk ke ibu kota selepas Perdana Menteri mengumumkan pergerakan rentas negeri dibenarkan bagi yang lengkap divaksinasi ketika tinjauan UtusanTV di Plaza Tol Gombak. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus bersiap siaga menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 susulan kebenaran pergerakan rentas negeri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin malah berkata, kementerian itu akan terus memantau corak penyakit dan data mobiliti untuk mengunjurkan kemungkinan penularan wabak.

Kata beliau, ia susulan lonjakan kadar pergerakan kenderaan merentas negeri pada hari pertama kebenaran itu semalam, terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara, selatan dan juga Lembah Klang.

Secara keseluruhan, Khairy berkata, trafik di PLUS meningkat sebanyak 14 peratus sebaik sahaja pergerakan rentas negeri dibenarkan, semalam.

“Pergerakan kenderaan merentas negeri menuju ke arah utara mencatat peningkatan sebanyak 20.5 peratus.

“Pergerakan ke arah selatan pula naik 15.4 peratus manakala ke Lembah Klang berjumlah 9.7 peratus.

“Kita akan terus memantau corak penyakit dan data mobiliti untuk mengunjurkan kemungkinan penularan wabak,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Baca artikel berkaitan: Fasa rentas negeri, kita belum menang!

Dalam ciapan sama, Khairy turut menggalakkan orang ramai mengamalkan TRISS iaitu test (ujian), report (lapor), isolate (kuarantin kendiri), inform (memaklumkan) dan seek (dapatkan rawatan segera).

Pada masa sama, Khairy turut mengingatkan operator lebuh raya supaya memastikan persekitaran berisiko tinggi seperti surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) mempunyai pengudaraan baik.

“Pihak konsesi lebuh raya diingatkan untuk pastikan persekitaran berisiko tinggi mempunyai pengudaraan yang baik dan ditandakan bagi penjarakan fizikal menjelang aktiviti rentas negeri tinggi hujung minggu ini,” jelas beliau.

Kerajaan telah membenarkan aktiviti rentas negeri bermula semalam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu sejajar dengan kadar vaksinasi populasi dewasa di Malaysia yang mencecah 90 peratus.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram