sprm

KERTAS siasatan berhubung kehilangan wang kes berjumlah AS$6.94 juta (RM28.95 juta) telah pun dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan, kertas siasatan itu telah pun dikembalikan untuk tindakan lanjut SPRM.

Katanya, ia selepas Jabatan Peguam Negara mendapati wujud kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut.

“Jabatan Peguam Negara telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes kehilangan wang AS$6.94 juta yang diterima pada 28 September daripada pihak SPRM.

“Jabatan ini mendapati wujud kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

“Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

29 September lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan kertas siasatan berhubung kes tersebut telah pun diterima Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara daripada SPRM.

20 September lalu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Baca artikel berkaitan: Wang AS$6.94 juta hilang: Jabatan Peguam Negara terima kertas siasatan

Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan remah di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga 19 September.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) semasa sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat pula memaklumkan polis telah membuka kertas inkuiri berhubung isu berkenaan.

Menurut Hamzah, ia selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menerima satu laporan berhubung kes kehilangan barang kes SPRM didakwa berjumlah AS$6 juta itu.

Dalam perkembangan sama, polis mengesahkan menjalankan siasatan ke atas seorang suspek kes itu bagi kes dua berasingan iaitu memiliki dadah dan senjata api serta peluru dan bukannya kes kecurian barang kes bernilai AS$6.94 juta itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, dalam satu kenyataan pada 23 September lalu, berkata tangkapan dilakukan terhadap pegawai terbabit dan dua kertas siasatan dibuka terhadapnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram