Sebahagian PATI yang ditahan dan diusir Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia.

SERAMAI 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke Sarawak menerusi lorong tikus di kawasan Tebedu dan Biawak, Lundu untuk mencari pekerjaan ditahan dan diusir keluar.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan oleh pasukan berkenaan menerusi Op Benteng yang dijalankan.

Menurut 1 Div, pengusiran pertama melibatkan dua individu lelaki berusia 39 dan 42 tahun yang cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia di Sektor Tebedu pada pukul 10.05 pagi semalam.

Katanya, kejadian kedua pula berlaku pada hari sama pukul 5 petang di lorong tikus sekitar Biawak, Lundu melibatkan tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun.

“Satu lagi kejadian adalah penahanan lima individu berusia 24 hingga 47 tahun termasuk seorang wanita berlaku pada pukul 11 pagi hari ini juga di sekitar kawasan Biawak, Lundu.

Baca artikel berkaitan: Lebih 15,000 PATI ditahan menerusi Ops Benteng – Hishammuddin

“Ketiga-tiga kejadian melibatkan penahanan individu dipercayai PATI oleh pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk secara haram ke negara ini melalui lorong-lorong tikus sepanjang sempadan darat Malaysia-Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut 1 Div, hasil siasatan mendapati tujuan kesemua PATI menyusup masuk secara haram itu adalah untuk mencari pekerjaan di pelbagai sektor di Sarawak.

Kenyataan itu memaklumkan, laporan polis telah dibuat di balai polis berhampiran dan kesemua PATI yang ditahan telah diusur keluar pada hari yang sama.

“Melihat kepada situasi semasa yang sedang memasuki fasa endemik wabak COVID-19, kes-kes melibatkan PATI cuba masuk untuk mencari pekerjaan di Sarawak dilihat semakin meningkat.

“Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak – Kalimantan Barat sentiasa berwaspada dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram