Anggota polis memeriksa lokasi kejadian seorang anggota tentera mengamuk sebelum membunuh diri di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching, hari ini. - Foto PDRM

SEORANG anggota tentera yang mengalami masalah rumah tangga mengamuk sebelum menembak dirinya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang, Sarawak hari ini.

Ibu mentua suspek yang berusia 58 tahun turut cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 28 tahun dari sebuah kem tentera di Bau datang ke rumah keluarga isterinya untuk berbincang masalah rumah tangga yang dialaminya.

Bagaimanapun semasa berbincang dengan isterinya, suspek secara tiba-tiba marah dan mengambil senjata api Colt M4 Carbine yang disimpan di dalam keretanya.

“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan di bahagian ruang tamu dan dapur sehingga mengenai ibu mentuanya yang cedera di bahu kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Zainal Abidin berkata, suspek kemudian berjalan ke bahagian hadapan rumah lalu menembak dirinya sendiri di bahagian dagu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, suspek ketika kejadian masih bertugas sebagai anggota pemantauan pematuhan SOP Covid-19 bagi daerah Bau.

Ujarnya, suspek meminjam kereta kawannya untuk pergi ke rumah keluarga isterinya di Kolong 1 itu dan difahamkam dia dan isterinya dalam proses perceraian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Polis mengesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai,” tambahnya.