Orang ramai mengisi air ke dalam tong bagi persediaan berikutan gangguan bekalan air di sekitar lembah klang bermula esok sehingga 16 oktober ini ketika tinjauan UtusanTV di Kampung Baru, semalam GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKALAN air di 998 kawasan Lembah Klang yang terganggu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna mulai pukul 5 petang, esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, ia akan mula disalurkan secara berperingkat setelah sistem bekalan air telah distabilkan.

Menurut Air Selangor, buat masa ini, kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah dimulakan pada pukul 9 pagi tadi mengikut jadual.

Katanya, kerja-kerja itu dijangka siap pada pukul 11 malam ini.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem bakalan air.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Air Selangor memaklumkan akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal.

Baca artikel berkaitan: 998 kawasan Lembah Klang bakal alami gangguan air

Air Selangor memberitahu, ia termasuk hospital, pusat dialisis, pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

“Senarai lengkap kawasan-kawasan yang terjejas, pili air awam dan stesen pengisian air komersial boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor; Facebook; Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” jelas syarikat itu.

Sebanyak 998 kawasan Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini.

Pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan 2020, berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Pelaksanaan kerja itu sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik-taraf sistem bekalan air, demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram