PERNAH dengar tentang cawat besi? Secara literalnya, ia difahami sebagai alat yang diperbuat daripada besi untuk melindungi alat sulit si pemakainya.

Pada zaman dahulu, cawat besi merupakan salah satu kaedah untuk membendung isteri daripada berlaku curang ataupun menjadi mangsa rogol ketika ditinggalkan suami.

Sejarah awal penggunaan alat ini dipercayai digunakan oleh masyarakat Yunani kuno. Namun, tiada catatan sahih mengenainya. Mengikut mitos, alat ini digunakan oleh golongan hamba wanita sebagai tanda taat setia pada tuannya.

Pada zaman dahulu, hamba wanita adalah hak mutlak tuannya. Bukan sekadar hamba, mereka juga dijadikan alat pemuas nafsu tuan mereka. Ramai hamba wanita ini dipakaikan cawat besi oleh tuan mereka.

Cawat besi.

Selepas itu, penggunaan cawat besi mula berkembang dan digunakan oleh golongan isteri kesateria di zaman Eropah kuno. Pada zaman ini, peperangan sering kali berlaku dan mereka terpaksa meninggalkan isteri untuk jangka masa waktu yang lama.

Bagi mengelakkan isteri berlaku curang semasa ketiadaan mereka, kesatria ini akan memakaikan cawat besi pada isterinya dan mengunci cawat itu dengan kunci khas yang dipegangnya.

Masyarakat Greece kuno pula menggunakan cawat besi sebagai alat untuk mengawal kadar kelahiran anak daripada golongan hamba. Di zaman itu, orang kaya yang memiliki hamba berhak melakukan apa sahaja termasuklah menjalinkan hubungan seks dengan hambanya.

Keadaan itu boleh menyebabkan kelahiran anak luar nikah meningkat. Bagi mengelakkan itu berlaku dan tidak mahu diancam golongan anak hamba yang kelak menuntut hak, maka amalan pemakaian cawat besi diperkenalkan.

Cawat besi..

Di China pula, golongan isteri-isteri pembesar turut memakai alat ini sebagai tanda menghormati suami mereka.

Rekod menunjukkan, cawat besi juga pernah digunakan di Malaysia. Pemakaian cawat besi popular sekitar 1920-an hingga 1950-an. Malah, turut direkodkan pada tahun 1960-an ia masih lagi dipakai. Kebiasaannya, amalan pemakaian cawat ini digunakan oleh wanita yang sudah berkahwin.

Selain cawat besi, salah satu penutup kemaluan perempuan zaman dahulu dipanggil Caping (ada juga yang menyebutnya sebagai Cupeng). Namun, caping ini bentuknya sedikit berbeza daripada cawat besi.

Pemakaiannya khas untuk gadis-gadis muda dari kalangan bangsawan dan juga kanak-kanak perempuan. Fungsinya sebagai penutup alat kelamin. Bentuknya seperti hati dan cara memakainya dengan mengikat alat tersebut menggunakan benang pada perut si anak.

Caping yang digunakan oleh kanak-kanak perempuan dan gadis muda.

Caping dipakaikan pada kanak-kanak perempuan berusia dua hingga lima tahun. Orang zaman dahulu percaya caping adalah penangkal roh jahat. Malah, pada pemakaian pertama kanak-kanak itu, benang yang digunakan akan dijampi dahulu oleh dukun.

Menurut cerita lisan daripada orang-orang dahulu, pemakaian caping popular di bahagian utara dan pantai timur semenanjung Malaysia. Difahamkan, caping mula diperkenalkan pada kurun ke-13 semasa pemerintahan kerajaan Seriwijaya.

Seperti cawat besi, caping juga dihasilkan daripada logam yang terdiri daripada emas, perak dan tembaga. Selain itu, caping juga turut dihasilkan dengan pelbagai bahan lain seperti tempurung, kulit kerang, kulit kura-kura dan sebagainya.

Pemakaian caping turut berbeza mengikut taraf kedudukan seseorang dalam status-quo masyarakat. Bagi kerabat diraja, pemilihan warna tali yang digunakan untuk diikat pada bahagian pinggang mestilah mengikut warna yang ditetapkan. Antaranya warna kuning, merah, hijau dan ungu.

Begitu juga dengan rakyat biasa. Mereka mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan agar tidak menggunakan warna yang dikhususkan untuk keluarga diraja.

Caping dipakaikan pada kanak-kanak perempuan.

Memakai caping juga tidak boleh dilakukan sesuka hati. Ia haruslah dipakaikan oleh orang yang mahir dalam selok belok pemakaian ini. Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, pemakaian caping mestilah melalui upacara khas majlis tepung tawar. Upacara ini dilakukan bagi memanggil semangat agar pemakaian caping berjalan dengan lancar.

Pada upacara ini, hidangan tertentu mesti disediakan. Antaranya, tiga ulas buah nangka, tiga jenis buah tempatan, tiga buku garam, tiga sisir pisang nangka, satu sisir pisang raja dan dua batang lilin lebah.

Kemudian, semua hidangan ini akan dilletakkan di dalam satu bekas khas yang dianyam daripada daun pandan. Kemudian persembahan ini akan diletakkan di satu sudut yang terpilih untuk diasapkan.

Seiring dengan perkembangan zaman, kini upacara begitu tidak lagi diamalkan. Dikatakan paling akhir kanak-kanak memakai caping adalah sekitar tahun 1920-an. Selepas zaman itu, caping tidak lagi digunakan dan kini hanya tinggal sejarah.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare