Ismail Sabri (tengah) menghadiri Majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana Tahun 2021, hari ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyifatkan program Felo Perdana memberi manfaat besar apabila ramai pesertanya berjaya dalam sektor awam, swasta mahupun politik.

“Hasil daripada pendedahan dan program Felo Perdana ini, sebahagiannya berjaya dalam politik dan ada yang jadi menteri.

“Dari segi kerjaya lain pula, saya percaya ramai yang berjaya hingga hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana Tahun 2021 di Putrajaya hari ini.

Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan sejak 2013. Tahun ini merupakan tahun kesembilan pelaksanaannya dan telah mengumpulkan penyertaan lebih 600 anak muda.

Ia merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih belia yang berpotensi dengan kemahiran aras tinggi di samping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

Seramai 64 anak muda berprestasi tinggi terpilih sebagai peserta Felo Perdana Tahun 2021 bermula hari ini hingga 31 Dis, yang ditempatkan bersama mentor masing-masing terdiri daripada ahli Jemaah Menteri.

Baca artikel berkaitan: PM tak mampu tahan sebak bentang isu kemiskinan

Ismail Sabri dalam pada itu meminta ahli Jemaah Menteri untuk memberi bimbingan kepada peserta berkenaan berkaitan aspek pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata objektif program itu antaranya memberi pendedahan kepada anak muda untuk memahami serta mempelajari bagaimana kementerian-kementerian ditadbir.

Ismail Sabri berkata langkah membawa Felo Perdana ke Parlimen juga memberi pendedahan pembelajaran dan ilmu perundangan kepada peserta.

“Tahniah dan syabas kepada mereka yang terpilih, ramai yang memohon tetapi hanya sebahagian dapat dipilih,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram