Budaya makan plasenta

MEMAKAN bahagian-bahagian tubuh manusia boleh dilabelkan sebagai kanibalisme. Namun, terdapat sebuah tradisi di China yang mungkin sebahagian besar masyarakat dunia menganggapnya sebagai menjijikkan iaitu memakan plasenta bayi baru lahir.

Plasenta atau juga dikenali sebagai uri dan tembuni merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Berfungsi membekalkan bayi dengan makanan, termasuk nutrien dan oksigen kepada janin serta mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu. Gumpalan ini memiliki berat sekitar 600 gram dengan diameter 16 hingga 18 sentimeter dan mengandungi 200 mililiter darah.

Berdasarkan sejarah, budaya memakan plasenta dalam perubatan tradisional Cina telah berlangsung sejak lebih 2,000 tahun dahulu. Lebih lama sebelum kewujudan perubatan moden. Bahkan, sampai ke hari ini ramai di kalangan wanita di sana masih mengamalkannya.

Foto: Video CN/Getty Images/iStockphoto/

Wang Lan, antara salah seorang daripadanya. Selepas selamat melahirkan anak perempuan, dia memberikan uri bayi kepada emaknya untuk dimasak. Katanya, setelah dibersihkan ia boleh direbus untuk dijadikan sup tanpa bau hamis. Tembuni juga boleh dimakan mentah atau dicampurkan ke dalam hidangan khas. Bagi yang gerun, uri akan dikukus kemudian dihiris dan dikeringkan, seterusnya di ekstrak dalam bentuk pil.

Menurut Lan, beliau percaya dengan memakan uri bayinya dapat membantu untuk menambahkan air susu ibu dan pulih daripada bersalin. Malah, ia juga diyakini dapat mengecutkan rahim, menambahkan tenaga, mengurangkan depresi dan kemurungan selepas bersalin.

Perubatan tradisional Cina telah lama percaya bahawa plasenta dapat memulihkan dan meremajakan tubuh seseorang. Qin Shihuang, wanita pertama China yang dilaporkan menyebut plasenta memiliki manfaat kesihatan sekitar tahun 2,200 tahun dahulu. Kemudian, pada dinasti terakhir China, janda permaisuri Cixi dikhabarkan telah memakannya untuk awet muda.

Sebuah buku perubatan klasik dari Dinasti Ming (1368-1644) turut mengatakan bahawa plasenta mengandungi nutrien tinggi. Dan jika diamalkan, ia boleh memanjangkan usia seseorang.

Kerana mempercayai perkara itu, salah sebuah hospital bersalin di wilayah sebelah timur Nanjing melaporkan, sekitar 10 peratus ibu-ibu baru telah membawa pulang tembuni mereka selepas selamat melahirkan. Bahkan, hasil penyelidikan pemerintah tempatan mendapati terdapat rumah sakit di selatan wilayah Guangzhou menjual uri dengan harga 20 yuan atau sekitar RM10.39 seketul.

Hari ini, budaya yang dianggap menyihatkan bukan saja terhad diamalkan di China, tetapi semakin mendapat pengaruh di Barat. Baru-baru ini, pelakon Hollywood, January Jones turut mendedahkan bahawa dirinya memakan plasenta bayinya sebagai sebahagian daripada rejimen sihat selepas bersalin. Pelakon sensasi, Kim Kardashian, juga pernah menyatakan minatnya untuk melakukan perkara serupa selepas melahirkan anak perempuannya.

Trend pelik ini menarik perhatian penyelidik dari Universiti Nevada, Las Vegas, untuk melakukan kajian ke atas 200 orang di kalangan wanita yang mempraktikkan pemakanan ini selepas bersalin. Hasil kajian mendapati sebanyak 95 peratus daripada mereka melaporkan peningkatan dalam pemulihan dan penyusuan anak. Golongan ini percaya bahawa uri ialah ubat, vitamin, mineral dan hormon sempurna dalam membantu memulihkan ibu selepas melahirkan anak, seterusnya dapat mengelakkan ‘baby blues’.

Sama ada ia betul atau tidak, Penolong Profesor di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Duke, Amerika Syarikat, Dr. Diana Dell memberitahu, buat masa ini tiada kajian saintifik yang menyokong dakwaan itu. Malah, ahli perubatan profesional bersepakat mengatakan, plasenta tidak memberi apa-apa kebaikan kepada tubuh sekalipun ia dimakan. Adapun keputusan positif selepas memakan organ tersebut mungkin kebanyakannya dipengaruhi oleh kesan plasebo.

Jika ada mengatakan kita perlu melakukannya kerana haiwan telah lama mempraktikkannya, itu sebenarnya salah. Haiwan melakukan placentophagy adalah bertujuan untuk ia menghilangkan bukti kelahiran agar tidak menjadi mangsa kepada pemangsa.

Dan harus diingat bahawa plasenta ialah tisu manusia – sama seperti organ-organ lain pada tubuh badan manusia. Sekiranya ia tidak dijaga dengan baik, sama ada dibekukan atau disimpan pada suhu yang sejuk, pengamalnya bakal dijangkiti bakteria berbahaya dan penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan C. Justeru, kebanyakan hospital di dunia akan menganggap plasenta sebagai sisa buangan perubatan bersama sampah berbahaya lain. Melainkan jika terdapat permintaan para ibu untuk mengambilnya untuk dibawa pulang.

Di Malaysia, adalah menjadi kewajipan bagi orang Melayu membawa pulang uri ke rumah selepas selesai saja proses bersalin. Ia kemudiannya akan dibersihkan sebelum ditanam di dalam tanah. Amalan ini dilakukan adalah sebagai satu cara menghormati tembuni. Ini kerana dalam masyarakat Melayu, uri adalah dihormati kerana peranannya dalam menyokong bayi semasa kehamilan.

Terdapat banyak budaya lain di seluruh dunia yang mempunyai upacara khas bagi menghormati plasenta. Sebagai contoh, orang Maori di New Zealand turut menanam uri sebagai simbol menghormati hubungan manusia dan alam.