Kakitangan farmasi menunjukkan Kit Ujian Kendiri Covid-19 di Taman Sri Gombak, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

JANGKITAN baharu COVID-19 seluruh negara mencatatkan peningkatan buat hari kedua berturut-turut hari ini.

Sebanyak 7,950 penularan telah dilaporkan seluruh negara setakat tengah hari tadi.

Walaupun masih berada pada paras 7,000, namun peningkatan yang direkodkan agak membimbangkan lebih-lebih lagi dengan kelonggaran aktiviti merentas negeri.

Menjelang cuti panjang hujung minggu ini, tentunya ramai yang telah berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti.

Namun begitu, perlu diingatkan sekali lagi, patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ada – jaga penjarakan fizikal, jangan berada di kawasan sesak dan amalkan kebersihan kendiri.

Sebelum mulakan perjalanan, lakukan ujian kendiri COVID-19 – semasa dalam perjalanan, hindari tempat sesak bagi mengelakkan jangkitan berlaku.

Jangan terlalu gembira untuk merentas negeri hingga mengabaikan tanggungjawab mematuhi SOP kerana kita sudah berada dalam norma baharu.

Nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, negara masih lagi belum ‘menang sepenuhnya’ dengan kelonggaran rentas negeri akan menyaksikan kita bertempur di ‘medan perang’ baharu dengan strategi baharu.

Baca artikel berkaitan: Empat hari turun, kes baharu naik sedikit kepada 7,276

Kata beliau, Malaysia hanya boleh menang jika semua pihak memainkan peranan masing-masing mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan kerajaan.

Kes baharu mula menunjukkan penurunan pada Jumaat lalu dengan kekal berada di bawah paras 10,000.

Semalam, kes baharu naik sedikit kepada 7,276 jangkitan selepas turun kepada 6,709 kes, Isnin lalu.

Jumlah 6,709 itu adalah kali pertama kes COVID-19 dilaporkan di bawah angka 7,000 dalam tempoh 100 hari.

Jangkitan COVID-19 mula turun ke paras empat angka pada 3 Oktober lalu dengan 9,066 kes telah dilaporkan.

Menurut perkongsian Dr. Noor Hisham, kumulatif jangkitan COVID-19 di Malaysia berjumlah 2.361 juta kes.

“Sehingga 13 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah: 7,950 kes (2,361,529 kes).

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram