Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan turut menempatkan bangunan Kedutaan Malaysia./ Gambar media sosial.

SUSULAN tindakan ‘pelik’ Sudan ke atas Petronas, Wisma Putra telah memanggil Kuasa Usaha negara itu di Kuala Lumpur hari ini.

Ini kali kedua Kuasa Usaha Sudan dipanggil Wisma Putra rentetan apa yang dilakukan kerajaan negara itu ke atas syarikat petroleum Malaysia yang banyak melabur di negara Afrika itu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur dipanggil untuk menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap isu berkaitan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan.

Beberapa media melaporkan kerajaan peralihan Sudan berhasrat untuk merampas aset milik syarikat minyak Malaysia, termasuk kompleks itu.

Wisma Putra dilaporkan menggesa kerajaan Sudan untuk menghormati ‘Bilateral Investment Promotion and Protection Treaty’ yang disepakati antara Malaysia dan Sudan.

Malah menurut Wisma Putra, kompleks berkenaan turut menempatkan Kedutaan Malaysia yang mana sebarang tindakan mencemari premis perwakilan asing adalah ‘kesalahan besar’ di dalam amalan diplomatik.

Sehubungan itu, pihak Sudan digesa mematuhi peruntukan di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Ujar kenyataan itu, kementerian telah bekerjasama erat dengan Petronas, termasuk melalui Kedutaan Malaysia di Khartoum, untuk menyelesaikan isu berkenaan sejak ia mula tercetus pada Disember 2020.

“Sehingga kini, kementerian telah melakukan pelbagai usaha diplomatik untuk mengatasi isu ini, termasuk memanggil Kuasa Usaha Sudan (untuk kali kedua) ke Wisma Putra pagi ini untuk menyatakan kebimbangan.

“Kami akan terus memantau rapat perkembangan isu ini demi untuk menjaga kepentingan Malaysia di Sudan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut memaklumkan semua rakyat Malaysia yang tinggal dan berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Khartoum berada dalam keadaan selamat.

Tindakan Sudan ke atas Petronas dikaitkan penganalisis Malaysia dengan pertukaran kepimpinan negara itu yang kini menjalin hubungan erat dengan Barat.

Walaupun Petronas sudah bertapak di negara itu berdekad lamanya, dilaporkan kepimpinan baru Sudan mahu mengutamakan pelaburan syarikat petroleum Barat.

Meskipun Petronas telah bertindak memfailkan permohonan arbitrasi (timbang tara), kementerian berharap dapat menyelesaikan dengan baik dan tepat pada masanya bertujuan menjaga hubungan erat yang telah terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Sudan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Petronas memaklumkan pihaknya telah bertindak memfailkan permohonan arbitrasi (timbang tara) di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) berhubung perkara itu.

“Petronas tidak dapat mengulas lanjut mengenainya memandangkan proses undang-undang sudah pun diambil,” menurut syarikat minyak dan gas negara itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram