Salah seorang mangsa kejadian 'merotan' Rabu lalu./ GAMBAR media sosial

KEHADIRAN gelandangan di sesebuah premis memang kurang disenangi pihak pengurusan dan pemilik bangunan.

Namun, menghalau gelandangan dengan memukul menggunakan rotan adalah melampau dan sudah menjadi jenayah kekerasan.

Ini yang seperti dilaporkan berlaku di hadapan sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Berikutan itu, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut merampas dua batang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian terhadap dua gelandangan yang juga peminta sedekah itu berlaku pada 2 petang, Rabu lalu.

Katanyam seorang daripada gelandangan itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari sama.

“Menurut mangsa, dia bertindak merakam kejadian dua lelaki memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan di hadapan sebuah bank di Komtar menerusi telefon bimbitnya.

“Apabila tindakannya disedari kedua-dua lelaki itu, mereka turut memukulnya menggunakan rotan sama.

“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis serta dirawat di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Soffian, susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 43 tahun yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di bangunan Komtar pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

Katanya, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Soffian berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua lelaki tersebut sering memukul peminta sedekah atau orang gelandangan yang berada di sekitar hadapan bank itu.

“Kedua-duanya kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan senjata.

“Kertas siasatan kes itu juga telah lengkap dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Sebaliknya kata beliau, orang ramai perlu mengambil pendekatan bijak serta mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Terdahulu tular menerusi Facebook dan Twitter tiga video berdurasi dua minit, 20 dan 45 saat antaranya memaparkan seorang lelaki mendakwa dipukul oleh beberapa individu di kawasan Komtar.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram