PERNAH terfikir bagaimana perjalanan selebriti Malaysia ini sebelum mereka mencapai ke tahap yang begitu dikenali di tanah air sekaligus mengubah nasib dari kehidupan yang susah? Tidak semua selebriti dilahirkan dalam keluarga yang berada, mereka juga seperti kebanyakan individu yang bermula dari bawah.

Ada yang sudah berjaya hingga mampu membuka perniagaan sendiri dan semestinya mendapat perhatian masyarkat. Mesti anda tidak sangka ini rupanya pekerjaan selebriti tanah air kita sebelum menjadi terkenal!

Remy Ishak


Pelakon kelahiran Melaka yang terkenal dengan lakonan hebatnya dalam drama Pujaan Hati Kanda pernah berhempas pulas mencari rezeki di pasar pagi dengan menjual ikan dan ayam segar. Bukan itu sahaja, Remy yang kini bergelar suami kepada Ezza Yusof juga pernah bekerja sebagai penoreh getah, buruh kasar dan membuat kerja landskap di tepi jalan. Ketika berusia 18 tahun, Remy nekad untuk mengubah nasib keluarganya dan mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Kehidupan Remy mula berubah setelah mengenali pengarah Osman Ali dan bakat lakonannya mula dikenali orang ramai.

Datuk Aaron Aziz


Sebelum mencuba nasib sebagai pelakon di Malaysia, Datuk Aaron Aziz sering bertukar pekerjaan antaranya jurujual kereta dan pengurus restoran yang hanya menerima gaji cukup-cukup makan sahaja. Aaron terlebih dahulu membina nama dalam bidang lakonan di Singapura menerusi drama Cinta Bollywood. Akui Aaron, kesenangan yang dikecapi olehnya kini adalah berkat dari pengorbanan dan sokongan keluarganya.

Datuk Sri Siti Nurhaliza


Penyanyi terkenal Datuk Sri Siti Nurhaliza dahulunya mula menjual kuih-muih ketika berusia sembilan tahun sehingga berusia 15 tahun bagi membantu keluarganya. Pengalaman menjual kuih merupakan satu pekerjaan yang memberi seribu satu kenangan berharga buat dirinya kerana dari situ merupakan titik kejayaan yang dikecapi hari ini. Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini mengulas bahawa kesusahan yang dialaminya membantu menjadi seorang yang cermat ketika berbelanja dan meningkatkan keyakinan dalam komunikasi dengan orang ramai.

Datuk Yusof Haslam


Pernah bekerja sebagai konduktor bas di Kuala Lumpur setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, pengarah terkenal ini meraih pendapatan sebanyak RM 7 sehari pada ketika itu. Namun, Datuk Yusof hanya bertahan selama 10 bulan sahaja dan mula mencuba pekerjaan lain seperti menjual kereta terpakai, penganjur persembahan dan berniaga di kantin sekolah. Malah, dia juga pernah ditawarkan kerja sebagai pegawai penjara Taiping, Perak, namun tawaran tersebut ditolak.

Shukri Yahaya


Dilahirkan di Kuala Lumpur, Shukri Yahaya memiliki pengalaman bekerja sebagai juruaudit di syarikat kedai serbaneka di Kuala Lumpur dan sering dibawa menaiki bas untuk menjalankan audit di premis cawangan. Pelakon 7 Hari Mencintaiku ini pernah bekerja sebagai kerani di sebuah bank. Bagaimanapun, Shukri tidak menemui kepuasaan atau keserasian di tempat kerja dan mula mengasah bakat dalam bidang lakonan menerusi filem Jiwa Taiko arahan Osman Ali.

Nabil Ahmad


Nabil Ahmd mula menempah nama dalam bidang seni melalui program realiti Raja Lawak. Anak kelahiran Negeri Sembilan ini dahulunya hidup serba kekurangan di mana bapanya bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya merupakan seorang guru Bahasa Inggeris yang mengajar di tadika. Pelawak ini mula berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2008 dan kemudian mula mengasah bakat dalam lakonannya. Filem pertamanya ialah Sifu dan Tongga.

Adibah Noor


Adibah Nooor pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Taman Datuk Harun pada Mei 1993 sebelum membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada Jun 1995. Kemudian, Adibah mencuba pelbagai pekerjaan sepanjang 1995 namun kembali mengajar di Institut Tadbiran Negara pada 1996. Penyanyi Terlalu Istimewa ini beralih ke bidang seni dengan memasuki pertandingan nyanyian, Suara 90-an Nescafe. Tanpa disangka rezeki memihak kepadanya sekaligus dinobatkan juara bagi program tersebut. Bakatnya mula dikenali dan sehingga kini, nama Adibah tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia.

Tuju K-Clique


Kumpulan K-Clique terus menjadi kegilaan peminat muzik masa kini dan lagu mereka sering mendominasi carta lagu hit semasa. Salah seorang anggota kumpulan itu, Tuju yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah pernah mencuba pelbagai pekerjaan sebelum bergelar artis terkenal dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah sebagai pencuci kereta. Hanya bermula dari komuniti muzik ‘underground’, kebolehan menyanyikan pelbagai genre lagu membuatkan bakat Tuju terus dikenali peminat muzik tanah air.

Jep Sepahtu


Jep atau nama sebenarnya Mohd Nazri merupakan seorang pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai radio terkenal tanah air. Mula berkecimpung dalam bidang seni menerusi program realiti Raja Lawak musim ketiga. Dia kini merupakan antara pelawak paling popular di Malaysia. Jep pada awalnya mahu menjadi pemain bola sepak setelah tamat persekolahan namun tidak kesampaian dan mula berhijrah ke Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai pencuci mesin di syarikat New Straits Times. Malah, Jep juga pernah berkhidmat di syarikat penerbangan Air Asia selama tiga tahun sebagai tukang angkat bagasi. Kini, nama Jep cukup gah sebagai selebriti terkenal setelah melalui pelbagai liku kehidupan.

Jihan Muse


Pelawak, pelakon dan pengacara popular Jihan Muse mula mendapat perhatian orang ramai menerusi kemunculannya di program realiti Raja Lawak. Mengimbas kembali sebelum bergelar pelawak terkenal, Jihan pernah berkhidmat sebagai Juruteknik bangunan di Majlis Bandaraya Shah Alam dan hanya menerima tawaran berlakon pada hujung minggu sahaja. Mula serius dalam bidang seni setelah tamat kontrak sebagai juruteknik, Jihan berazam untuk meletakkan pelawak wanita setanding dengan lelaki. Jihan juga dikenali sebagai Ratu Parodi disebabkan berjaya mencuit hati penonton melalui aksi tiru gaya artis dalam segmen Parodi rancangan MeleTOP.

Tiada kejayaan yang datang bergolek. Semua orang pasti pernah mengalami kesukaran di dalam hidup termasuklah selebriti kesayangan kita ini. Itulah serba sedikit perkongsian dari URTV mengenai permulaan artis terkenal tanah air. Semoga perkongsian ini dapat memberi semangat dan dorongan untuk orang ramai di luar sana dalam naik turun kehidupan.