KERAJAAN negeri Sabah bersetuju membenarkan pergerakan rentas negeri mulai 1 November depan meliputi kemasukan bagi lawatan sosial dan pelancongan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, kebenaran bagi aktiviti merentas negeri itu hanya bagi individu yang telah lengkap divaksin.

Pada masa sama, kata beliau, individu yang mahu merentasi negeri perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Antigen dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

“Selain itu, kebenaran itu juga tertakluk kepada remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun pula ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: RMK-12 utamakan negeri kurang membangun – Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak

Mengulas lanjut , Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Sabah turut bersetuju membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negeri mulai esok.

Katanya, kebenaran itu dengan syarat individu telah lengkap divaksin dan remaja berumur 12 hingga 18 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

“Kerajaan negeri berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap Sabah setakat 11 Oktober oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah melebihi kadar 70 peratus,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram