zahid cabar
AHMAD ZAHID HAMIDI - Gambar UMNO Online

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan bergerak solo menggunakan logo Barisan Nasional (BN) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) mahu pun bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Oleh kerana MN tidak pernah didaftarkan sebagai satu gabungan, Ahmad Zahid menjelaskan kerjasama sebagaimana diadakan dalam pelbagai pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sukar untuk direalisasikan.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang MN direalisasikan sebagaimana PRK yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding di bawah panji-panji BN secara solo, Insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘Jawab, Saya Tanya! PRU-15: Membentuk atau Membina Arus? secara dalam talian malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Pemimpin UMNO, Pas bertemu ‘cari titik persamaan’, perteguh ukhuwah

Ketika ditanya oleh moderator, Rafi Awang Kechik berhubung kerjasama dengan Bersatu, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan telah dibuat untuk tidak menjalinkan hubungan politik sama ada dalam PRU-15 atau PRN Melaka.

“Saya menghormati keputusan dan ketetapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 bahawa dalam PRU-15 kita tak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya fikir itulah kehendak dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan kepemimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka.

“Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan politik mereka,” jelas beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan tidak akan membalas dendam terhadap mana-mana individu dalam menandatangani watikah sebagai calon BN dalam PRU-15.

Beliau berkata, UMNO akan menentukan calon berdasarkan tiga kriteria iaitu ‘boleh menang, boleh diterima dan disukai’ untuk dipilih sebagai calon dalam PRU-15.

“Saya telah sebut dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) lalu bahawa saya tak akan gunakan pentas ini untuk membalas dendam. Saya beri jaminan dan saya sahkan lagi pada malam ini.

“Jangan khuatir, jangan takut. Insya-Allah orang ini (Ahmad Zahid) tidak akan membalas dendam kepada sesiapa pun.

“Bukan sahaja saya dikhianati, difitnah, dihina dan diheret (ke mahkamah) tetapi Insya-Allah saya ada Allah, Allah akan jaga seseorang itu,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram